Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu juga akan mengadakan lawatan ke Xiamen, China pada 13 hingga 17 Januari depan bagi memperkukuhkan hubungaan antara dua pihak di samping meninjau kelebihan bandaraya itu yang terkenal sebagai bandaraya terbersih dan tercantik dari segi pembangunan landskapnya.
Pemangku Yang DiPertua MPK, Ikhsan Mukri berkata, pihaknya sudah memulakan perancangan itu dengan pembangunan landskap di sekitar bandar terutamanya di tebing Sungai Klang menerusi penanaman pelbagai jenis pokok.
Menurutnya, usaha dilakukan itu dipersetujui Jabatan Pengaliran Selangor (JPS) dengan kerja pemulaan melibatkan pembersihan rezab sungai untuk penanaman pokok-pokok dikenali sebagai 'rolia' dan 'helicornia'.
"Kami akan tanam banyak-banyak di tebing Sungai Klang. Bila dah naik dalam masa tiga bulan kita akan panggil rakyat untuk datang ke nurseri kita yang kita panggil 'Nurseri Rakyat'. kita bagi rakyat percuma supaya sama-sama cantikkan Klang," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Bulanan MPK di sini hari ini.
Ikhsan berkata, lawatan yang akan dilakukan ke Xiamen adalah bagi membalas kunjungan hormat delegasi bandaraya itu ke bandar ini pada Oktober lalu.
"Mereka berminat untuk bekerjasama, itu sebabnya kita adakan satu persefahaman 'Friendly City' antara MPK dan Xiamen.
"Xiamen ialah antara sepuluh terbaik sebagai bandaraya paling bersih di China dan bandaraya paling baik dari segi landskap. Jadi memang kami cari 'benchmark' untuk MPK bandaraya mana yang kami nak ikut sebab kami sedang buat kertaskerja untuk menjadikan Klang sebagai bandaraya Klang Diraja," katanya.
Beliau berkata, MPK boleh mencontohi Xiamen dari aspek pembersihan, penguatkuasaan serta sistem pelupusan sampah yang dipraktikkannya selain kecantikan landskapnya.
Menurutnya, MPK juga akan membangunkan kawasan peranginan Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang supaya Klang menjadi kawasan tumpunan ramai pada masa akan datang.
Katanya, pembangunan kawasan peranginan itu melibatkan kos lebih kurang RM5 juta.
"Apabila kita mempunyai visi untuk menjadi bandaraya, mestilah ada tempat peranginan untuk pelancong dan pelawat. Kita dapati Tanjung Harapan ini adalah lokasi terbaik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan