Jumaat, 30 Disember 2011

Pakatan sedia berdepan dengan Zahid Hamidi, tuntut penjelasan kos kapal melambung RM3 bilion

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi telah memalukan dirinya sendiri kerana tidak tahu dari mana datangnya maklumat tentang enam kapal peronda pesisir pantai atau littoral combatant ships (frigate class) (LCS) yang melonjak kos daripada RM6 bilion kepada RM9 bilion.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, percubaan Zahid untuk mengalih isu itu gagal apabila beliau cuba mempersoalkan dari mana datangnya maklumat tersebut.

Katanya, Zahid tidak sedar bahawa semua fakta datangnya daripada Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia mengenai anak syarikatnya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang mendapat kontrak membina kapal-kapal berkenaan.

“Zahid sepatutnya lebih cekap dan berhenti dari bergantung kepada (pencacai siber UMNO) Papagomo sebagai penasihat perisikan beliau yang selalu memberi fakta separuh benar dan data-data mengarut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Zahid sepatutnya menjelaskan kepada rakyat kenapa kerajaan enggan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Parlimen untuk mengkaji semula dan meluluskan perbelanjaan pertahanan.

“Jika Kementerian (Pertahanan) tidak sanggup untuk dipantau di Parlimen, iaitu badan perundangan tertinggi negara, maka Zahid tidak mempunyai hak untuk bercakap tentang ‘ketelusan’,” katanya merujuk kepada kenyataan menteri itu sebelum ini yang mendakwa kementeriannya terbuka kepada ketelusan.

Pua berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Zahid semalam yang menjemput para pemimpin Pakatan Rakyat untuk duduk semeja bagi membincangkan isu pembelian enam kapal peronda LCS itu.

Katanya, beliau bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Nurul Izzah Anwar dan Dr Dzulkefli Ahmad sentiasa bersedia untuk bertemu Zahid bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Zahid bukan sahaja patut memberikan penjelasan tentang kapal peronda melibatkan RM9 bilion itu tetapi juga mengenai 257 kenderaan berperisai (APV) bernilai RM7.55 bilion tahun ini.

“Dalam jawapan Parlimen beliau kepada saya berhubung APV itu, beliau mendakwa bahawa beliau ‘tidak tahu’ berkaitan butir-butir kos itu,” katanya.

Sebelum ini, Zahid juga telah mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk mencuba kapal selam Malaysia bagi membuktikan ia boleh menyelam. Namun Guan Eng terpaksa menunggu selama 21 bulan sebelum Zahid menunaikan janjinya sendiri.

Tiada ulasan: