Rabu, 7 Disember 2011

SPR mesti laksana 7 lagi tuntutan Bersih – Maria Chin

Oleh: Masdar Wahid



KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan tujuh lagi tuntutan gabungan itu, kata Ahli Jawatankuasa Pemandunya, Maria Chin Abdullah.

Sambil mengalukan pengumuman SPR melaksanakan dakwat kekal, Maria berkata, kesemua lapan tuntutan tersebut perlu dilaksanakan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Jika kelapan-lapan tuntutan Bersih tidak dilaksana sebelum PRU-13, pandangan rakyat dan masyarakat antarabangsa mengenai perjalanan sistem pilihan raya di Malaysia tetap kotor, penuh manipulasi dan berpihak untuk memenangkan Umno BN,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.



Tujuh lagi tuntutan itu ialah membersihkan daftar pemilih, mereformasikan undi pos, kempen minima 21 hari, akses media yang adil untuk semua parti politik bertanding, mengukuhkan institusi awam serta menghentikan politik kotor dan rasuah.

Beliau juga mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang memberi alasan bahawa agensi kerajaan itu akan menemui Majlis Fatwa Kebangsaan bagi meminta pandangan.

“Ini hanyalah alasan politik SPR yang dikitar semula sejak 2008, walhal Majlis Fatwa sudahpun memutuskan tiada masalah jika dakwat kekal diguna dalam pilihan raya,” tegas Maria.

Menjelang PRU-12, SPR bersetuju melaksana dakwat kekal, namun membatalkannya disaat akhir pengundian dengan alasan memudaratkan ketenteraman awam.

Pada PRU itu, buat pertama kali, Umno BN hilang dua pertiga kerusi di Parlimen selain tumbang di lima negeri.

Tiada ulasan: