Khamis, 29 Disember 2011

Perhimpunan tanpa permit di 12 lokasi

Chen Shaua Fui


Meskipun Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman telah diluluskan parlimen, namun sekumpulan warga yang enggan akur telah melancarkan gerakan "civil disobedience", dengan penampilan dalam warna kuning di 12 lokasi tanpa permit polis pada 24 Disember 2011.

Antara lokasinya termasuk KLCC, tasik Taiping di Perak, Melaka, Kluang Johor, stesen keretapi di Segamat, padang golf Johor Bahru, muzium Sarawak, feri yang menjalin antara Seberang Prai dengan Pulau Pinang, pantai Kuantan, pusat beli-belah Seremban dan sebagainya. Bantahan terhadap RUU Perhimpunan Aman dengan cara yang kreatif ini kebanyakannya berlangsung pada jam dua petang.

Ketika dihubungi MerdekaReview, koordinator di Teluk Cempedak, Cik Yew berkata, seramai 53 orang peserta hadir dalam perhimpunan itu, lebih ramai daripada jangkaannya sebelum ini. Cik Yew mendakwa dirinya seorang siswi berumur 22 tahun, menyedari kepentingan kuasa rakyat selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Beliau mendapati sesetengah rakan sebayanya di Kuantan tidak faham apa itu RUU Perhimpunan Aman lantaran kekurangan maklumat dari media arus perdana. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk menganjurkan aktiviti ini untuk memupuk kesedaran di kalangan rakan sebayanya.

Selain itu, beliau berharap dirinya dapat melakukan sesuatu untuk negara dan generasi akan datang. Beliau tidak mahu dipersoalkan kelak oleh anaknya mengapa tidak membantah akta sedemikian. Beliau mahu memberi jawapan sekurang-kurangnya dirinya pernah melakukan sesuatu demi masa depan anaknya. Malah beliau menyeru agar mahasiswa sedar dan jangan sekadar "bincang", tetapi tampil ke depan untuk memperbaiki kerajaan yang dianggap "haprak" dari kaca mata mereka.

RM900 dibelanja di KLCC

Sementara itu, seorang warga kota mengajak rakannya di Facebook untuk meraihkan hari jadi dirinya di KLCC. "Mereka tidak perlu mengenali saya. Tujuan aktiviti ini adalah untuk menarik perhatian ramai terhadap RUU Perhimpunan Aman. Kebetulan hari itu hari jadi saya."

Salah seorang peserta, Pow Kiew An berkata, seramai 52 orang hadir dalam sambutan hari jadi tersebut, termasuk 10 orang kanak-kanak. Beliau menambah, pegawai keselamatan berada di sekeliling mereka ketika mereka duduk dalam restoran sambil memegang belon dalam tangan. Kira-kira RM900 telah dibelanjakan di KLCC, dan mereka meninggalkan situ setelah habis menyanyi lagu dan bergambar di depan pokok krismas.

Lebih menarik, Anne Ooi yang terkenal sebagai Aunty BERSIH, turut hadir dalam majlis sambutan hari jadi tersebut.

Menghina rakyat

Di samping itu, seorang peserta perhimpunan di Tasik Taiping, Toh memaklumkan kepada MerdekaReview bahawa kira-kira 30 orang hadir untuk menyertai perhimpunan tersebut. Mereka mengelilingi tasik tersebut, dan memberi belon berwarna kuning kepada orang yang berada di situ. Toh mendakwa tujuan aktiviti tersebut adalah untuk membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU Perhimpunan Aman secara keras.

Menurut Toh, perhimpunan ini dianjurkan untuk menunjukkan kekuatan rakyat. Bagi Toh, kerajaan meluluskan RUU Perhimpunan Aman tanpa berunding atau mendapat pandangan rakyat - satu tindakan yang disifatkan sebagai "menghina rakyat".

Di Sarawak, kira-kira 30 orang hadir di muzium, termasuk ADUN Batu Lintang See Chee How.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 24 Disember 2011.

Tiada ulasan: