Rabu, 28 Disember 2011

' Ambil tindakan elak revolusi’

Perkasa mahu polis ambil tindakan terhadap penganjur, peserta kempen 901 Bebaskan Anwar kerana cuba mencetuskan revolusi.



KUALA LUMPUR: Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mahu tindakan diambil terhadap Ketua Pembangkang Datuk Sri Anwar Ibrahim berikutan kempen 901 Bebaskan Anwar yang didakwanya cubaan memulakan revolusi di Malaysia.

901 merujuk kepada tarikh penghakiman kes liwat Anwar di Mahkamah Tinggi.

“Mereka dah mulakan perhimpunan di Pulau Pinang.

“Mereka mahu bangkitkan revolusi seolah-olah di Dataran Tahrir, Mesir seolah-olah Anwar tidak bersalah.

Ibrahim berkata demikian mesyuarat majlis tertinggi Perkasa di sini semalam.

“Justeru itu Perkasa minta pihak keselamatan terutamanya polis agar dapat mengambil langkah pencegahan (preemptive measures) yang menjurus kepada revolusi.”

Jangan kompromi

Beliau turut menambah langkah membuat perhimpunan akan menyebabkan nama Malaysia tercemar.

“Kita desak kerajaan agar tidak kompromi walau seinci pun.”

Tambah beliau, sekiranya Anwar didapati bersalah beliau masih boleh membuat rayuan.

“Kenapa mahu bawa kes kepada rakyat? Ini penghinaan terhadap mahkamah.”

Ibrahim menambah bahawa tindakan Anwar menjadikan umum sebagai hakim kesnya adalah bersamaan “tindakan mencabul dan menodai perlembagaan.”

Akta Hasutan

Sementara itu, Ibrahim turut mendesak kerajaan agar mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap pengerusi National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Eu Hong Seng.

“Kita desak agar Eu ditahan dan dibicara di bawah Akta Hasutan.”

Eu yang dilaporkan menyeru agar umat Kristian menyebarkan ajaran Kristian. Beliau turut dilaporkan sebagai berkata umat Kristian dipinggirkan.

“Ini provokasi yang dibuat secara tidak bertanggungjawab.

“Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sudah jelas. Ia kontrak sosial yang tidak boleh dipersoal.”

Beliau menambah kenyataan Eu boleh digunakan untuk menghasut golongan muda dan bukan Islam.

“Nampak sangat mereka nak bermusuh dengan orang Melayu-Islam.

Tiada ulasan: