Khamis, 3 November 2011

SPRM: Beli bot ‘all weather’ tiada unsur seleweng tapi langgar Arahan Perbendaharaan

TERKINI


PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak wujud elemen penyelewengan dalam urusan pembelian bot aluminium ‘all weather’ oleh Jabatan Taman Laut merangkumi beberapa peralatan termasuk binokular yang dilaporkan 177 hingga 2,805 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Sebaliknya, menurut agensi antirasuah itu, perolehan tersebut telah dilaksanakan tanpa membuat kajian pasaran bagi memastikan perolehan dibuat adalah yang paling menguntungkan kerajaan dengan mengambil kira aspek kualiti, harga, kegunaan, kos penyelenggaraan dan faktor lain yang berkaitan sehingga mewujudkan perbezaan harga pasaran dan harga kontrak sebanyak RM172,501.00.

“Meskipun harga pakej keseluruhan syarikat yang berjaya adalah rendah, terdapat keadaan di mana harga peralatan tententu dalam pakej tersebut tidak munasabah.

“Kegagalan membuat kajian pasaran adalah tidak mematuhi Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull pada sidang media di sini hari ini.

Shukri berkata, siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut mendapati kes berkenaan berlaku ekoran kecuaian dan kesilapan pegawai Jabatan Taman Laut kerana tidak melakukan kajian pasaran terhadap harga tender yang dibuat Syarikat Kejuruteraan Kapal Masai Sdn Bhd.

“Berdasarkan laporan dan siasatan kami, tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang SPRM, tetapi terdapat penyelewengan daripada pihak syarikat, dan kecuaian pegawai Jabatan Taman Laut kerana tidak melakukan kajian pasaran terhadap sebut harga di dalam tender tersebut,” kata Shukri.

“Pihak syarikat telah mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga barangan dalam pakej pembelian bot tersebut dengan meletakkan harga yang tidak munasabah.

“Bot tersebut dibeli secara pakej termasuk peralatan seperti teropong, komputer riba, mesin pencetak, dan TV LCD dengan harga RM7.51 juta,” katanya.

“Walaupun mereka mengeluarkan tender dengan harga terendah berbanding tender dikeluarkan kerajaan sebanyak RM10 juta, tetapi dari segi harga unit peralatan tertentu dilihat tidak munasabah,” jelasnya.

Menurutnya, harga pasaran bagi teropong malam itu hanya berharga sekitar RM5,000 tetapi syarikat tersebut meletakkan harga sebanyak RM100,000 untuk pembelian dua unit barangan tersebut.

Jelas beliau, harga itu adalah 177 hingga 2,805 peratuslebih tinggi berbanding harga pasaran.

Sehubungan itu, SPRM akan menghantar surat kepada Jabatan Taman Laut memintanya mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat kerana cuai dalam menjalankan tugas.

Selain itu, SPRM juga akan menggesa syarikat tersebut disenaraihitamkan oleh kerajaan kerana melakukan penyelewengan dan mengambil kesempatan terhadap kerajaan.

“SPRM mencadangkan Jabatan Taman Laut supaya mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terbabit kerana gagal mematuhi Arahan Perbendaharaan dan Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender dan menyenaraihitamkan syarikat tersebut kerana merugikan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: