KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS mahu penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 — acara tahunan diadakan sejak 2008 — agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama.
Justeru Ketuanya Nasrudin Hassan (gambar) berkata, sayap parti Islam itu juga sedia berdialog ke arah itu bagi menangani perkara ini yang menjadi polemik sekarang.
“Usah lari dari fitrah dan meninggalkan kehidupan beragama kerana jiwa tidak tenteram dan tidak pun boleh menyelesaikan masalah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina. Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar pertubuhan bukan kerajaan, artis, aktivis dan individu sejak 2008.
Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan berlangsung mulai semalam hingga 13 November di The Annexe Gallery di sini. Ia dijadualkan akan dirasmikan oleh bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan pada 9 November.
Nasrudin berkata program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi manusia menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.
“Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
“Justeru, mereka tidak lagi teragak-agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka,” katanya.
Kata beliau, sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan hak asasi, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara itu.
“Sementara Dewan Pemuda PAS berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah swt, Tuhan yang mencipta manusia,” kata beliau.
Malah kata beliau, kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama.
“Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan.
“Sebaliknya manusia mesti hidup berasaskan peraturan - peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan,” kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan