Jumaat, 11 November 2011

‘Saya tidak ingat’, kata saksi kes Sosilawati

FREE MALAYSIA TODAY

Saksi ke 70 sering menjawab tidak ingat apabila disoal siasat oleh peguam Manjeet Singh Dhillon.



SHAH ALAM: Jawapan “tidak ingat” sering diberikan seorang pegawai perubatan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menimbulkan rasa tidak puas hati seorang peguam.

Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama N Pathmanabhan tidak puas hati dengan jawapan sedemikian oleh Dr Ahmad Hafizam Hasmi, 32, ketika disoal berhubung pencarian pada 14 Sept tahun lepas di Ladang Gadong, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan.

Ketika Manjeet bertanya sama ada pihak polis ada memberi taklimat kepada pasukan perubatan sebelum mereka membuat pencarian di ladang berkenaan dan sama ada saksi itu turut berada di sana semasa taklimat, Dr Ahmad Hafizam menjawab, “tidak ingat”.

Saksi ke-70 pendakwaan itu menjawab demikian semasa ditanya Manjeet sama ada dia tahu siapa yang menjumpai objek ketika membuat pencarian di ladang berkenaan.

“Adakah ini pertama kali anda terlibat dalam pencarian ini?” soal Manjeet dan Dr Ahmad Hafizam menjawab, “ya”.

Manjeet: “Anda boleh ingat masa pergi ke Batu Pahat, Johor dan Seremban pada 15 Sept tahun lepas dan mengenai pemeriksaan x-ray pada 21 dan 22 Sept tetapi bila tanya tentang 14 Sept itu anda lupa.

“Ada orang menyuruh anda jangan beritahu apa berlaku pada 14 Sept?”

Dr Ahmad Hafizam:”Tidak, memang saya tidak ingat, tidak boleh ingat apa yang dijumpai di Ladang Gadong. Ada orang yang jumpa benda tetapi saya tidak pasti.”

Saksi memberi keterangan pada hari ke-49 perbicaraan kes bekas peguam Pathmanabhan, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan serta R.Khatavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyalagan, 20; Matan, 21; dan Kathavarayan, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos tahun lepas dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani mengapa dia selalu menjawab tidak ingat ketika disoal balas Manjeet, Dr Ahmad Hafizam menjawab:”Di Batu Pahat dan Seremban memang saya buat sendiri sebab itu saya ingat tetapi di Ladang Gadong memang saya tidak ingat.”

Sampel darah

Terdahulu, saksi itu yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata dia dengan seorang jururawat terlatih telah dibawa polis mengambil sampel darah milik penama Yathmi Abdul Rahman (ibu Sosilawati) di Batu Pahat, Johor, pada 15 Sept tahun lepas untuk perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

Dr Ahmad Hafizam berkata mereka kemudian dibawa ke Seremban, Negeri Sembilan, untuk mengambil pula sampel darah milik penama Abdul Karim Isa dan Bibi Habibon (ibu bapa Ahmad Kamil) pada hari yang sama.

Saksi itu berkata pada 21 dan 22 Sept tahun lepas, dia juga telah diarah pakar perunding forensik Dr Nurliza Abdullah (saksi ke-63 pendakwaan) membuat permohonan kepada Jabatan Radiologi untuk melakukan pengimbasan x-ray terhadap spesimen dipercayai tulang berkaitan kes.

Katanya, sebanyak 14 keping gambar x-ray spesimen yang diambil pada kedua-dua tarikh itu kemudian diserahkan kepada Dr Nurliza.

Dr Ahmad Hafizam memberitahu mahkamah bahawa pada 14 Sept tahun lepas, dia telah diarahkan oleh Dr Nurliza untuk membantu dalam pencarian di Ladang Gadong dan sepanjang pencarian itu, dia tidak menjumpai sebarang objek.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 15 Nov ini. Bernama

Tiada ulasan: