Jumaat, 11 November 2011

MB bentang hutang Talam Isnin

MBI mampu menukar semula hutang kerajaan negeri menjadi aset demi kebaikan rakyat Selangor.

\


DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Hasil penyusunan semula aset hutang Talam Corporation bernilai RM391 juta yang diambil alih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar (MBI) akan dibentang pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini Isnin ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerangkan kepada dewan hari ini bahawa MBI – sebagai entiti yang mengawal dan membantu tadbir anak syarikat kerajaan negeri kini memasuki fasa akhir dalam pengumpulan dan penyelesaian hutang Talam.

Menurut Khalid, MBI bukan sahaja mampu mengutip hutang berkenaan malah meningkatkan nilai hartanah yang diperoleh daripada Talam.

Talam Corporation berhutang RM391 juta dengan beberapa anak syarikat kerajaan negeri seperti Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam usaha sama pembangunan hartanah sepanjang 10 tahun lalu.

“Pengumpulan dan penyelesaian hutang Talam ini sudah sampai peringkat terakhir dan kerajaan negeri menerima wang tunai serta tanah sejumlah 6,000 ekar; 1,300 ekar di Bestari Jaya, 1,000 ekar di Bukit Beruntung, 1,000 ekar lebih di kawasan Kuala Langat. pada nilai RM5 satu kaki persegi.

“Kerajaan negeri bagi kelulusan kawasan-kawasan ini untuk dijadikan perumahan dan komersil. Nilai RM5 sekaki ini adalah nilai harta lebih RM1 bilion. Bukan sahaja dapat kutip hutang tetapi dapat meningkatkan nilai hartanah.

“Maka kita meminta MBI dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk mengadakan pameran tanah pada Isnin ini dan menerangkan proses dan langkah yang perlu kita lakukan.

Daripada hutang yang dikutip, bagaimana akaun dibuat supaya menjadi kajian kes bagi mereka yang berminat untuk melihat bagaimana kerajaan negeri menjalankan usaha untuk mengutip hutang,” katanya.

Beliau mengulas lanjut bagi menjawab pertanyaan mulut Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) mengenai jumlah hutang Talam yang dikutip oleh MBI dalam persidangan Dun hari ini.

Khalid menegaskan betapa MBI mempunyai kemampuan dan kepakaran yang mencukupi untuk menguruskan aset yang diambil alih untuk membawa keuntungan kepada rakyat negeri Selangor.

“Itu sebab saya berani dan jumpa Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) kerana ini adalah hadiah reformasi kepada rakyat negeri Selangor. Kita akan tunjuk lebih banyak lagi penyesuaian yang dibuat, peringkat demi peringkat sehingga akhirnya kita dapat untung,” tegas Khalid.

Tambah Khalid, sebelum ini sebarang hal berkaitan dengan Talam tidak pernah dibentang dalam persidangan Dun ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan kerajaan negeri tidak mengetahui mengenai hutang tersebut.

“Dewan bersidang awal 2008 tidak disentuh mengenai hutang Talam ini. MBI pun tiada…kerana ia dibawah jagaan KDEB. Kita lihat negeri pun tidak mengetahui mengenai hutang Talam. Kerana ia tiada dalam rekod dan perbendaharaan. Itu sebab saya bawa akaun negeri. Negeri catat Talam ada hutang.

“Kalau tidak kutip hutang tak dapat duit, maka kerajaan negeri sekarang serah pada MBI yang saudara luluskan ketika sidang dewan sebelum ini dan diluluskan tidak sampai seejam. Berapa lama kami (kerajaan Pakatan) buat? Dua tahun selesai dan hari ini kita umumkan,” jelas beliau.

Tiada ulasan: