Isnin, 14 November 2011

Mahkamah Benarkan Permohonan 6 Rakyat Malaysia Di UK Daftar Sebagai Pengundi

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas pada Isnin membenarkan permohonan kebenaran enam rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk semakan kehakiman bagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang.

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas peguam Edmund Bon memberitahu mahkamah pihak peguam Kanan Persekutuan (SFC) Amarjeet Singh mewakili SPR tidak mengemukakan sebarang bantahan berhubung perkara tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Januari ini untuk perbicaraan kes.

Dalam permohonan itu, enam pemohon iaitu, Teo Hoon Seong seorang doktor, 43; V.Vinesh seorang jurutera elektrik, 32; Paramjeet Singh seorang usahawan, 54; Yolanda Sydney Agustin seorang doktor, 31; Sim Tze Wei seorang penterjemah, 28, dan arkitek perisian Leong See See, 41, menamakan SPR sebagai responden.

Mereka yang menetap di United Kingdom memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, 25 Okt lepas melalui Tetuan Chooi & Company, antara lain memohon satu deklarasi bahawa mereka sebagai warganegara Malaysia yang menetap di luar negara adalah berhak didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir.

Mereka juga memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan SPR melalui surat bertarikh 9 September lepas, yang tidak mendaftarkan mereka sebagai pemilih tidak hadir.

Selain itu, mereka juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan SPR untuk mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir, dan perintah lain yang perlu bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir atau pengundi pos pada pilihan raya umum akan datang. -BERNAMA

Tiada ulasan: