SHAH ALAM : Belanjawan Selangor 2012 yang dijadualkan akan dibentang esok dijangka membawa kejutan menarik bagi golongan ibu dan belia di Selangor.
Difahamkan sejumlah yang besar akan diperuntukan bagi membantu menampung kos penjagaan anak oleh isteri yang bekerja. Dasar ini dilihat selari dengan bajet alternatif Pakatan Rakyat 2012 yang dibentangkan 3 Oktober lalu.
Didalam bajet alternatif tersebut setiap keluarga yang berpendapatan RM1,000 sebulan akan diberi elaun penjagaan anak berjumlah RM1,000 setahun bagi setiap anak berusia 12 tahun ke bawah.
Kerajaan negeri juga dijangka memperuntukkan sejumlah yang besar bagi penambahbaikan proses demokrasi melalui pilihan raya di Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan bajet esok.
"Berita baik memang ada tapi tentang menyaingi (Bajet 2012 Kerajaan Pusat) ataupun apa tu...kena tengok esoklah," katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar Green Development : The Economy Of The Future di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin yang dihubungi TV Selangor menjelaskan halatuju Bajet 2012 akan memberikan fokus kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 dalam usaha mengurangkan ketirisan dan melaksanakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
"Dan iktibar dari laporan audit 2010 menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan, agensi, jabatan, kementerian langsung tidak menjadikan laporan audit 2009 sebagai iktibar bagaimana untuk mengurangkan ketirisan yang berlaku di setiap jabatan dan agensi dan juga kementerian.
"Kita lihat ketirisan yang berlaku pada 30 peratus daripada peruntukan yang diberi, ini bermakna jika peruntukan di Selangor adalah RM1.6 bilion tahun lepas ini bermakna kita berjaya selamatkan RM400 juta,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan