Oleh Adil Mat Selamat
Suatu waktu dulu kita ada mendengar cerita tentang perubahan penampilan diri seorang pemimpin UMNO negeri Selangor. Wajahnya yang tepu tiba-tiba menjadi berseri dan kelihatan lebih muda.
Propagandis UMNO sendiri yang memulakan gosip itu telah menuduh pemimpin tersebut menggunakan suntikan Botox. Dakwaan itu dinafikan pemimpin tersebut, sebaliknya menyatakan perubahan fizikal wajahnya adalah kerana beliau suka makan tempe, juadah kegemaran orang Jawa.
Namun, apa pun yang dijelaskan oleh pemimpin berkenaan, iaitu bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo, rakyat sudah membuat persepsi sendiri. Wajah berserinya sejak akhir tahun 2007 dianggap banyak orang sebagai memakan belanja yang bukan sedikit, maklumlah rumahnya sahaja sudah berjuta-juta ringgit harganya.
Walau pun rupa wajahnya menjadi bahan gossip liar di kalangan manusia yang suka mengumpat, rakyat lebih melihat kepada apa yang beliau laksanakan sebagai pemimpin negeri.
Tuduhan-tuduhan rasuah, salah guna kuasa, membazir dan sebagainya, akhirnya menggugurkan kedudukannya. Malah beliau mencatat sejarah UMNO dan Barisan Nasional apabila menjadi Menteri Besar pertama yang kehilangan negeri dalam pilihan raya pada 2008.
Sebagai orang politik, beliau sendiri sedar bahawa kalah menang bukan kerana wajah berseri atau tidak, sama ada dengan tempe atau suntikan apa-apa ubat.
Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang pusat yang suatu ketika dahulu terkenal dengan cermin matanya, kini tidak lagi.
Ada orang kata Ketua Umum PKR itu Nampak lebih muda, ada pula yang marah kerana kononnya Anwar telah hilang gaya ‘intelektual’ sejak umum melihatnya sebagai pemimpin muda pada tahun-tahun 1970-an dahulu.
Bagi pemimpin besar ini, walau sekecil mana pun perubahan itu, sedikit-sebanyak tetap menjadi bahan bualan. Kata orang-orang UMNO, Anwar mahu ubah penampilan diri semasa dalam UMNO suatu waktu dulu.
Mungkin ya, mungkin tidak. Tapi adakah semua ini penting dalam agenda Pakatan Rakyat?
Gaya baru
Kini tiba giliran Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang ditohmah dan difitnah tanpa henti oleh kumpulan-kumpulan ultra-kaum termasuk lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, selepas kes fitnah anaknya di sekolah menengah oleh juak-juak UMNO, Guan Eng dilihat sedikit berbeza dengan penampilan wajah yang baru. Penampilan yang baru ini kali pertama disedari beberapa hari sebelum perayaan Deepavali baru-baru ini.
Perubahan yang kita maksudkan adalah gaya rambutnya. Apabila kita melihatnya kita rasakan ada sedikit kelainan, tetapi bagi yang kurang peka, mereka tidak dapat mengagak apa yang telah berubah.
Tanpa apa-apa rawatan, tanpa sebarang kos, modalnya hanyalah sikat dan sekeping cermin muka. Dan ia berjaya, nampak kemas dengan ‘mood’ baru.
Gaya rambut Guan Eng dahulu kelihatan terlalu ‘kemas’ seperti gaya ‘cikgu sekolah’ tahun 70-an dengan sisiran rapi berkilat kesan dari minyak rambutnya, menjadikan beliau begitu ‘Cina’ yang skema.
Kini dengan gaya sisiran yang baru yang tidak lagi kelihatan licin berminyak, ia tidak lagi ketara tekstur belahan rambutnya. Kata orang, gaya rambutnya sekarang mirip cara sikatan kebanyakan orang Melayu? Ringkas, sederhana dan nampak ‘cool’.
Bukan gaya rambut yang penting
Namun, sebagaimana dengan isu wajah Khir Toyo, apa yang penting bukan gaya sikat rambut atau mencekangkan muka. Sebagai pemimpin, rakyat menagih kepimpinan yang jujur, cekap dan tegas.
Ketika Guan Eng mengambil tampuk pimpinan negeri pada awal 2008, hutang Pulau Pinang yang dikumpulkan oleh kerajaan Barisan Nasional berjumlah RM630 juta. Kini selepas tiga tahun, hutang negeri hanya tinggal RM30 juta.
Adakah beliau menggunakan silap mata atau rawatan khas untuk menyelesaikan hutang negeri? Barangkali bekas Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Kon ada jawapannya.
Begitu juga dengan iltizam politiknya, wang yang dapat diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukanlah hasil dari suntikan atau rawatan istimewa, sebaliknya apa yang disebut Guan Eng adalah ‘dividen anti-rasuah’.
Apakah maksudnya? Mudah sahaja, menerusi urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT), rasuah, pembaziran dan salah guna kuasa dapat dikawal dan dibendung kerana iltizam politik kepimpinan negeri. Duit-duit yang dahulunya ‘bocor’ dari kantong negeri inilah yang berjaya diselamatkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Sesebuah kerajaan tidak perlu menjadi berbelanja besar atau boros hanya untuk memberi kebajikan kepada rakyat, sebaliknya dengan sistem urus tadbir yang baik dan cekap, maka khazanah negeri akan berjaya dipelihara dan diagih kepada rakyat dengan meluas.
Dalam aspek pelaburan, kerajaan Pakatan Pulau Pinang berjaya menarik minat penanam modal atas dasar CAT sehingga mendapat pujian banyak pihak antarabangsa.
Memahami makna dari natijah yang tersurat memberi kita sedikit gambaran bahawa jika hendak kelihatan lawa dan segak, tidak perlu berbelanja besar. Sebaliknya, cukup sekadar kita mencermin kembali diri kita sendiri.
Dan lakukanlah yang terbaik dengan penuh kesederhanaan, baik kepada diri mahu pun pentadbiran dan politik. Pemimpin harus tahu membezakan yang mana plastik dan yang mana realistik. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan