Oleh Aspan Alias
Dr Mahathir Mohammed telah menasihati Najib supaya jangan mengadakan pilihanraya dahulu. Buat masa sekarang UMNO perlu menumpukan masa untuk meneliti calon-calon yang sesuai untuk memastikan parti itu menang dan diberikan sokongan oleh rakyat. Isu memilih calon-calon yang ‘winnable’ memang selalu disebut oleh DS Najib dan beliau berjanji akan memastikan calon BN semuanya calon yang ‘winnable’ (boleh memang). DS Najib merasakan dan mungkin telah mengaku oleh kerana permainan politik yang sarat dengan politik kotor termasuk politik wang dan mengampu sejak dua tiga dekad yang lalu UMNO sudah kekeringan kepimpinan di setiap peringkat termasuk peringkat tertinggi.
Sesungguhnya apa yang disarankan oleh Mahathir itu benar kerana UMNO sudah kehilangan kepimpinan. Tetapi Mahathir juga yang memulakan mencantas dengan sistematik dan menggunakan kebijaksanaan beliau secara salah dengan menghilangkan barisan kepimpinan yang baik dan hanya menerima mereka yang pandai satu perkara, iaitu mengampu dan memastikan kuasa peribadi di dalam parti dan negara tidak terjejas.
Lama kelamaan inilah yang terjadi dan beliau sendiri dipanjangkan usia untuk melihat hasil perlakuan politik beliau selama ini. Lupakan sahaja cerita lama ini. Sekarang kita berhujah bagaimana untuk mempraktikkan pemilihan calon ‘winnable’ tadi.
Jika dikatakan untuk memilih calon yang ‘winnable’ ianya bermakna calon-calon yang akan dipilih nanti tidak semestinya datang dari Jawankuasa Bahagian seperti yang selalu diamalkan. Sekaligus UMNO mengakui bahawa kepimpinan di bahagian-bahagian tidak diterima oleh orang ramai dan mereka hanya dipilih oleh perwakilan dari cawangan-cawangan yang boleh dijual-beli.
Dalam politik sekarang ini UMNO sudah mulai sedar bahawa rakyat bukan seperti dahulu lagi; UMNO itu boleh letak sesiapa sahaja untuk menghadapi rakyat. Apabila UMNO sudah dipersepsikan sebagai parti yang tidak ‘reliable’ dari segi moralnya maka rakyat tidak lagi merasakan berkewajipan untuk terus menyokong UMNO. Malahan sudah ramai antara ahli UMNO itu sendiri telah bertukar pemikiran yang jika UMNO terus diberikan kepercayaan mereka akan terus melakukan rasuah dengan lebih rakus lagi.
Jika UMNO diberikan sekali lagi kepercayaan maka akan lebih kuatlah kepercayaan mereka yang terpilih nanti unuk melakukan rasuah kerana mereka percaya bising macam mana pun rakyat mereka akan tetap memberikan kepercayaan kepada UMNO.
Saya berpendapat bahawa lebih penting dari mencari ‘winnable candidates’ tadi ialah untuk UMNO mencari mekanisme untuk menjadikan UMNO itu sebagai ‘winnable party'. Sekarang ramai di kalangan ahli UMNO yang ‘winnable’ mengikut takrifan UMNO sekarang ini mempunyai ‘apprehension’ yang tinggi untuk menjadi calon kerana takut tertewas kerana imej UMNO yang tidak ‘winnable’ itu.
Kecenderungan rakyat untuk kembali memangkah simbol bertambah jelas. Jika kecenderungan ini bertambah jelas lagi maka yang UMNO perlu lakukan ialah untuk membina dalam jangkamasa yang terdekat ini untuk transform UMNO dari parti yang sinonim dengan rasuah dan salahguna kuasa kepada parti yang serius untuk mencapai matlamat penyatupaduan rakyat dan dipimpin oleh pemimpin yang masih tidak mempunyai imej rasis, rasuah dan tidak berdisiplin.
Masalah di dalam UMNO ini ialah parti itu tidak ada lagi kredibiliti kepimpinan. Oleh kerana itulah kecenderungan rakyat memangkah simbol bertambah jelas. Mereka menganggap simbol dacing itu adalah rasuah. Simbol dacing itu adalah pemimpin yang lemah. Simbol dacing itu adalah simbol parti yang tidak menghormati orang lain. Simbol dacing itu juga dianggap sebagai simbol pembaziran dan ketirisan dalam pengendalian harta dan wang rakyat.
Maka apa sahaja simbol yang menyaingi dacing akan mendapat sokongan kerana sudah terlalu jemu dengan masalah yang timbul dalam pemerintahan dacing itu tadi. Kali ini adalah pertandingan di antara dacing dengan simbol-simbol lain.
Usaha untuk mendapatkan calon yang ‘winnable’ itu memang baik tetapi sepatutnya ia telah dilakukan sebelum imej parti itu jatuh ke tahap yang ada pada hari ini. UMNO sepatutnya dari dulu lagi menjaga imej parti tetapi pemimpin-pemimpin mereka tidak mengendahkan isu ini dan terus mengabaikannya.
Mahathir mungkin jujur dalam memberi nasihat kepada pemimpin kepada parti yang beliau tubuhkan pada 1988 yang lalu itu. Tetapi sekarang ianya sudah begitu jauh tersasar perjuangannya dan sikap yang boleh menambat kepercayaan rakyat ramai. Rakyat sudah tidak mahu legi berpecah khususnya orang Melayu. Itu sebabnya saya selalu menyatakan secara terbuka yang rakyat mahukan penyatuan bangsa itu tetapi mereka telah memilih untuk bersatu di luar UMNO dan BN.
Agensi-agensi yang memberikan sokongan kepada kerajaan pada hari ini juga tidak mempunyai kredibiliti lagi. Contohnya Utusan kepunyaan UMNO ini sudah dipandang oleh rakyat termasuk orang Melayu yang sudah mula pandai berfikir, akhbar itu hanyalah sebuah badan propaganda UMNO yang tidak adil dan hilang penerimaan rakyat yang pernah mereka alami.
Utusan dipandang sebagai akhbar yang memecah-belahkan rakyat semata-mata. Akhbar ini selalu menimbulkan kontroversi dan polimik yang akhirnya memakan diri UMNO itu sendiri. Isu Mohamad Sabu yang dimulakan oleh Utusan telah membawa rakyat kepada isu kebenaran dan kesahihan sejarah negara yang dibaca oleh anak-anak sekolah kita.
Sekarang sudah terbentang kepada rakyat yang rata-rata berpolimik dan ramai rakyat yang sedar bahawa perjuangan kemerdekaan memang telah dipelopori oleh badan-badan yang wujud lama sebelum kewujudan UMNO dalam memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang UMNO tidak boleh lagi memonopoli isu perjuangan kemerdekaan ini lagi.
Hasil daripada isu yang dimulakan oleh Utusan ini juga sudah timbul pula polimik yang negara kita bukan tanah jajahan Inggeris tetapi hanya merupakan negara ‘protectorate’ Inggeris. Apabila ada isu-isu seperti ini maka pemikiran rakyat pun berbelah dan jika berlaku perbalahan ini yang menerima bahayanya ialah UMNO akhirnya.
Kadangkala saya terfikir samada Utusan ini memberikan markah tambahan kepada UMNO atau pun telah mengurangkan markah parti sudah kehilangan banyak markah sekarang ini. Adakah Utusan ini membantu atau menambah parah kepada UMNO yang didokongnya?
Cara Utusan menyokong UMNO ini ibarat sokong membawa rebah. Saya ingin membawa sekali lagi cerita yang pernah saya tulis di dalam blog ini beberapa ketika dahulu. Ceritanya ialah tentang seekor beruang yang dibela oleh seseorang dan beruang ini amat menyayangi tuannya tanpa batas. Beruang ini akan menjaga tuannya berlebih-lebihan dan akan membunuh sesiapa sahaja yang dianggapnya boleh merosakkan tuannya.
Pada suatu hari seekor nyamuk hinggap di pipi tuannya. Maka beruang tadi amat berang dengan nyamuk itu kerana hinggap di pipi tuannya yang amat dikasihinya itu. Tanpa berlengah, beruang itu terus sahaja menampar nyamuk di pipi tuannya itu sekuat hatinya.
Akhirnya nyamuk itu tidak tentu matinya, tetapi yang sudah tentu ialah muka tuannya telah ‘sempong’ kerana sebelah pipi tuannya itu telah hilang. Maka tinggallah tuannya tanpa pipi di sebelah kiri. Sampai akhir hayat tuannya itu sebelah mukanya kelompong kerana kasih beruang belaannya kepada tuannya itu.
Saya nampak Utusan ini adalah seperti beruang dalam cerita pendek saya tadi. Utusan sesungguhnya telah mencederakan UMNO begitu serius sekali. Utusan selalu memainkan peranan beruang yang sayangkan tuannya tadi.
Jadi cita-cita UMNO untuk mencari calon yang ‘winnable’ itu mungkin tersasar kerana parti yang tidak lagi ‘winnable’. Namun pandangan Dr Mahathir itu patut juga diberikan perhatian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan