Umno menggunakan analogi yang salah apabila mengaitkan parti itu sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan.
Jika anda tidak percaya bahawa Umno sudah putus tali hayat sebagai sebuah parti politik yang berpengaruh, anda perlu lihat sahaja kepada pimpinannya yang memperalatkan seluruh aparatus propaganda guna untuk menyerang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Namun adalah wajar mereka bertindak sedemikian jika sekiranya Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu melakukan kesalahan tetapi sebenarnya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Mat Sabu hanya mendedahkan mitos atau kepercayaan bahawa hanya Umno merupakan satu-satunya golongan yang berjuang dan mendapatkan kemerdekaan Malaya dari cengkaman penjajah British.
Kenyataan Mat Sabu yang menyanjung Muhammad Indera (atau lebih mesra disebut Mat Indera) sebagai pejuang kemerdekaan hanya dalam konteks untuk membidas Umno yang memutar belit fakta peristiwa Bukit Kepong.
Umno menyeleweng fakta sejarah bahawa peristiwa serangan ke atas Bukit Kepong yang diulang-ulang pada setiap Hari Kemerdekaan kerana mahu memberi gambaran bahawa parti itu sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan negara.
Kecaman terhadap Mat Sabu
Mereka menyerang Mat Sabu berdasarkan kenyataan positif beliau tentang Mat Indera. Mereka mengecam Mat Sabu dan termasuk PAS, kerana kononnya memuji komunis dan memberi gambaran baik tentang komunisme dan bercita-cita menukar negara ini menjadi sebuah republik.
Dengan menggunakan seluruh kekuatan, Umno menyerang pendirian Mat Sabu yang didakwa menyokong sistem komunis.
Tetapi tidakkah mereka dapat berfikir sejenak bahawa Mat Sabu tidak pernah pun menyebut perkataan “komunis” atau “komunisme” dalam ucapannya?
Dalam usaha mencari kebenaran, mari kita merenung kembali ucapan Mat Sabu, yang disampaikan dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu:
“Apabila Hari Kemerdekaan menjelang tiba program televisyen akan menayangkan peristiwa serangan ke atas Bukit Kepong. Anggota- anggota polis yang mati ketika peristiwa itu adalah mereka yang berkhidmat dengan kerajaan British.
“Mereka yang menyerang Bukit Kepong adalah sebenarnya para pejuang menuntut kemerdekaan. Perajurit yang menyerang Bukit
Kepong ialah Mat Indera. Beliau adalah seorang Melayu, tetapi namanya tidak disebut dalam buku-buku sejarah.
“Jins Shamsudin membuat filem ini. Jins Shamsudin dari Umno. Filemnya tentang Bukit Kepong memberi gambaran bahawa para penyerang sebagai petualang.
“Para anggota polis adalah polis British. Selepas merdeka, negara kita diperintah oleh British. Tetapi dalam filem, British digambarkan sebagai hero manakala para pejuang kemerdekaan dianggap sebagai teroris.”
Mat Sabu juga dalam ucapannya berkata Umno telah menggunakan Hari Merdeka untuk mencari nama dan menafikan peranan gerakan -gerakan lain selain Umno yang turut memberi sumbangan ke arah kemerdekaan.
Latar belakang sejarah
Untuk memahami isu ini dengan lebih baik, mari kita lihat insiden Bukit Kepong dari perspektif sejarah yang sebenar.
Ketika itu tahun 1950, dua tahun selepas pengisytiharan Darurat (untuk menangani pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM)) dan tujuh tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Peristiwa itu berlaku pada kemuncak perang gurila yang diisytihar oleh PKM untuk merebut kemerdekaan daripada penjajah British.
Pada malam 23 Februari 1950, segerombolan pejuang kemerdekaan menyerang sebuah balai polis di Bukit Kepong, Johor dan membunuh 25 orang, kebanyakannya anggota polis dan ahli keluarga mereka.
Serangan ini diketuai oleh Mat Indera, seorang Melayu, dan anggota-anggota polis juga orang Melayu, yang berkhidmat dengan kerajaan British.
Insiden ini merupakan salah satu titik hitam dari ruang lingkup perang gurila yang lebih besar di antara para pejuang kemerdekaan yang diterajui oleh PKM di satu pihak dan kerajaan British yang berusaha keras untuk mempertahankan penjajahannya di satu pihak yang lain.
Soalan yang kita hendak kemukakan kepada Umno ialah: memandangkan ini merupakan perang gurila untuk menuntut kemerdekaan, bagaimana Mat Sabu boleh dikatakan salah apabila beliau berkata Ma Indera berjuang untuk kemerdekaan?
Dan, bagaimana boleh dianggap Mat Sabu bersalah apabila beliau berkata anggota-anggota polis yang mati adalah kepunyaan British?
Tidakkah mereka berkhidmat untuk kerajaan penjajah? Tidakkah mereka berperang untuk melindungi kerajaan penjajah?
Memandangkan tidak ada perkataan “komunis” atau “komunisme” yang pernah disebut oleh Mat Sabu, bagaimana Umno boleh membuat kesimpulan bahawa Mat Sabu memuji atau mengagung-agungkan komunis atau komunisme?
Alam fantasi
Bukankah para pemimpin Umno dan aparatus propagandanya melangkah ke alam fantasi apabila menuduh PAS ada hubungan dengan komunis?
Adakah benar apa yang disebut oleh Mat Sabu ialah Umno menggunakan analogi yang salah apabila menampil diri atas dakwaan yang salah – bahawa mereka sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan?
Apa yang disebut oleh Mat Sabu tidak ada kena mengena dengan komunisme. Apa yang disebut beliau tidak juga bertujuan merendah- rendahkan sumbangan para pemimpin Melayu dalam gerakan mencapai kemerdekaan negara ini – seperti yang dituduh dan disalaherti oleh para pemimpin Umno.
Mengenai peranan PKM dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, kita harus berkata begini. Walaupun kita tidak suka komunis atau bersetuju dengan ideologi komunis, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa PKM telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan.
Malahan, PKM terpaksa membayar harga yang mahal kerana banyak daripada mereka yang terkorban sehingga mendorong Queen Elizabeth memendekkan tempoh peralihan kuasa kepada pewaris-pewaris (Perikatan) yang dipilihnya untuk meneruskan legasinya.
Dalam hubungan ini, perjuangan PKM telah mempercepatkan proses kemerdekaan.
Walaupun dilindungi oleh gerombolan komunis, tidak semua adalah komunis, kerana ramai yang menyertai perang gurila bukan untuk berkhidmat dengan komunisme tetapi berjuang untuk membebaskan negara ini dari penjajahan.
Gabungan berbagai pertubuhan
Berhubung dengan dakwaan Umno bahawa mereka sahaja yang berjuang untuk kemerdekaan, dakwaan ini jauh dari benar. Selain PKM, gerakan nasionalis lain telah pun bekerja keras sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua (sejak Umno belum ditubuhkan lagi) turutberjuang untuk menuntut kemerdekaan.
Gerakan-gerakan ini bergerak di bawah dua gabungan, Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang merangkumi pertubuhan-pertubuhan Melayu, Majlis Tindakan Bersama (AMCJA – All-Malayan Council of Joint Action), sebuah gabungan kesatuan dan pertubuhan pelbagai kaum termasuk PKM.
Kedua-dua gabungan ini bertindak untuk bersama-sama memberi tekanan kepada kerajaan British untuk memberi kemerdekaan (ketika itu Malaya), termasuk penggubalan Perlembagaan Rakyat yang dicadangkan pada 1947 namun British menolak cadangan ini.
Ketika kerajaan memburu gerakan-gerakan ini, yang mengakibatkan ramai pemimpin ditahan, beberapa pemimpin nasionalis termasuk Mat Indera, bergabung dengan PKM bagi meneruskan perjuangan menuntut kemerdekaan melalui pemberontakan bersenjata.
Sepertimana disebutkan sebelum ini, pemberontakan bersenjata inilah, yang bermula pada 1948 apabila Darurat diisytiharkan, yang terus mendesak dan mengakibatkan British mempercepatkan proses penyerahanan kuasa.
Gabungan inilah yang membawa kemerdekaan Malaya pada 1957. Namun kita harus mengakui bahawa Perikatan – Umno, MCA dan MIC – sebagai gabungan parti-parti politik yang disukai oleh British memainkan peranan penting ketika rundingan untuk mencapai kemerdekaan.
Tetapi untuk Umno mendakwa bahawa mereka sahaja yang berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan, sepertimana yang tercatat dalam buku-buku sejarah, malahan dengan mengenepikan peranan rakan sendiri seperti MCA dan MIC, adalah suatu bentuk ketidakadilan kerana rakyat bukan dari parti Umno turut memberi sumbangan.
Dari perspektif ini, Mat Sabu yang menimbulkan contoh Bukit Kepong telah memberi kesedaran kepada rakyat terhadap penyelewengan sejarah oleh Umno.
Pejuang kemerdekaan
Gerakan nasionalis lain, termasuk pemimpin pejuang kemerdekaan seperti Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam, termasuk PKM, juga memberi sumbangan yang bermakna ke arah mempercepatkan proses kemerdekaan.
Oleh itu, kempen untuk memburuk-burukan Mat Sabu oleh Umno, adalah suatu propaganda jahat bertujuan untuk mengalih sokongan dari PAS dan Pakatan Rakyat.
Umno terpaksa menggunakan strategi yang kebudak-budakan dan rapuh ini untuk meraih sokongan rakyat dan melestarikan nasib masa depannya yang kian meruncing.
Tindakan ini jelas menunjukkan Umno kini kehilangan taring sebagai sebuah parti politik kerana ia tidak memiliki keyakinan untuk bertanding di atas platfom yang sah dan sama rata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan