Selasa, 13 September 2011

Surau terbiar sasaran pencuri

Oleh Faizul Azlan Razak

SURAU berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud tak diselenggara.

SURAU berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud tak diselenggara.


Premis tak diselenggara, peralatan rosak selepas musim haji


KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama penduduk yang tinggal berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, meminta pihak berkuasa berkaitan membaiki dan menyelenggara surau dan tandas terbiar di kawasan itu untuk kemudahan pengguna.
Difahamkan, surau dan tandas itu sudah tiga tahun terbiar sehinggakan dipenuhi sampah sarap dan apa yang menyedihkan, ada yang tergamak mencuri kemudahan seperti kabel elektrik dan kepala paip air.
Saya bimbang jika surau itu terus terbiar, ada pihak yang menyalahgunakannya sebagai tempat buat maksiat kerana kedudukannya agak gelap dan berhampiran semak. - Mohd Sabri Mohamad, Tukang rumah
Tinjauan Berita Harian ke kawasan surau berkenaan mendapati rumah ibadat itu terbiar dan tidak diselenggara menyebabkan pengguna yang tidak bertanggungjawab merosakkannya hingga tidak boleh digunakan lagi.

Beberapa penduduk dan orang ramai yang ditemui juga melahirkan rasa kecewa dengan keadaan itu kerana rumah ibadat yang dibina untuk kemudahan umat Islam terbiar begitu saja.

Penduduk, Bidin Jusoh, 61, berkata surau itu sebelum ini digunakan oleh pengunjung LTSM dan penduduk sekitar terutama pada musim haji tetapi selepas musim haji, ia tidak diselenggara menyebabkan kemudahannya dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Surau di luar LTSM itu, katanya, menjadi gajah putih apabila sebuah surau baru dibina dalam bangunan LTSM dan terbiar tanpa penjagaan kerana penduduk tidak dapat menubuhkan jawatankuasa pengurusan lantaran tidak tahu pemilik bangunan itu.
Bidin yang juga pesara kerajaan, berkata LTSM menjadi tumpuan ramai dan pada musim haji kawasan lapang berhampiran surau itu akan sesak dengan kenderaan keluarga jemaah dari Pantai Timur dan imej rakyat negeri ini akan buruk kerana membiarkan surau sebegitu rupa.

Tukang rumah, Mohd Sabri Mohamad, 36, berkata sepatutnya kemudahan seperti surau dan tandas berkenaan tidak dibiarkan terbiar kerana sudah menjadi tanggungjawab semua memeliharanya untuk kemudahan umat Islam beribadat dan bukan membiarkannya menjadi sasaran pencuri.

"Saya bimbang jika surau itu terus terbiar, ada pihak yang menyalahgunakannya sebagai tempat membuat maksiat kerana kedudukannya agak gelap dan berhampiran semak.

"Saya harap pihak berwajib mengatasi masalah ini sebelum perkara buruk berlaku di kawasan ini," katanya dari Wakaf Mempelam yang singgah untuk solat di surau itu tapi hampa kerana tiada air dan tandas rosak.

Tiada ulasan: