Sejarah yang jujur terhadap generasi bangsanya mampu membentuk generasi baru lebih cekal menerima hakikat yang bukanlah semuanya manis-manis untuk ditelan.
Bahagian Akhir
Berikut ialah Bahagian Akhir dari siri rencana bertajuk “Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan”
Ingatkah anda dengan watak seorang lelaki anak tempatan bernama Buang yang menjadi Kempeitai Jepun dalam filem Sarjan Hassan arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan diterbitkan pada 1958?
Dalam filem tersebut yang turut dijayakan oleh P. Ramlee sendiri sebagai Sarjan Hassan, watak Buang yang dibawakan oleh Salleh
Kamil itu telah berjaya menonjolkan wajah sebenar seorang pengkhianat agama, bangsa dan negaranya demi kepentingan dirinya.
Dalam filem atau kes seumpama ini, semua pihak mudah untuk menerima bahawa Buang dalam filem ini adalah seorang pengkhianat dan sememangnya wajar untuk beliau dilabelkan sedemikian.
Sebaliknya, jika Buang dianggap pengkhianat kerana makan gaji sebagai Kempeitai kepada penjajah Jepun, bagaimana pula dengan anak-anak tempatan yang juga menerima gaji dari kerajaan British khususnya dalam pasukan bersenjata penjajah itu ketika menduduki Malaya?
Jika Buang dianggap sebagai pengkhianat, wajarkah mereka yang turut mengangkat senjata bersama penjajah British untuk menentang pemberontak dilabel sebagai hero bangsa dan negara?
Gerakan memburu pejuang kemerdekaan
Apabila darurat diisytiharkan pada 19 Jun 1948 oleh kerajaan penjajah British di Malaya, tokoh-tokoh penggerak kemerdekaan ketika itu telah menjadi buruan pihak polis.
Tokoh-tokoh penentang penjajah dari PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita
Sedar), BATAS (Barisan Tani Malaya), Hizbul Muslimin, KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan lain-lain merupakan antara yang menjadi sasaran utama pihak berkuasa ketika itu.
Selain itu, pengarang-pengarang akhbar, wartawan dan penulis yang menulis rencana yang dianggap meniupkan api semangat kemerdekaan terhadap rakyat negara ini turut ditahan.
Dalam operasi membenteras gerakan anti penjajahan itu, dianggarkan lebih 1,000 orang Melayu yang berjaya ditangkap termasuklah
Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Mahmud Baginda, Rashid Maidin dan ramai lagi sehingga melumpuhkan gerakan kebanyakan parti yang menentang penjajahan British di negara ini.
Penahanan tanpa bicara terhadap tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tersebut yang dikeluarkan oleh pegawai atasan British itu akhirnya dilaksanakan oleh anggota polis British berpangkat rendah yang rata-ratanya dari kalangan anak-anak tempatan.
Maka ketika itu berlakulah senario di mana seorang anggota polis anak tempatan yang berkhidmat untuk penjajah British memasungkan tangan bahkan mengacukan senjata apinya terhadap seorang lagi anak tempatan yang mendambakan kemerdekaan bukan sahaja buat dirinya bahkan tanah airnya.
Selepas peristiwa penangkapan tersebut itulah telah menyebabkan sesetengah dari tokoh-tokoh yang berjaya meloloskan diri berpendapat jalan untuk mencapai kemerdekaan menerusi saluran politik telah tertutup melainkan dengan kaedah penentangan bersenjata.
Bagaimanapun, kaedah ‘memperjuangkan kemerdekaan dengan darah’ tersebut kurang mendapat sambutan apabila masyarakat umumnya tidak dapat menerima ideologi komunis yang dibawa oleh PKM.
Apatah lagi dengan propaganda besar-besaran yang dijalankan oleh pihak British ketika itu telah memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat tempatan.
Selain itu, faktor sesetengah golongan masyarakat di negara ini yang semakin selesa berada di bawah naungan jajahan British dan tidak mempunyai keyakinan terhadap kebolehan rakyat tempatan mentadbir negara ini selepas merdeka turut memainkan peranan penolakan perjuangan bersenjata ini.
Bagi sesetengah golongan lain pula, mereka beranggapan bahawa perjuangan bersenjata untuk memperolehi kemerdekaan merupakan cara kekerasan lagi ganas yang tidak boleh diterima oleh masyarakat negara ini.
‘Meraikan’ pengeboman di Hiroshima, Nagasaki
Namun ketika pihak tersebut menolak cara kekerasan yang tentunya bakal menuntut korban nyawa bagi menuntut kemerdekaan Malaya, ada antara mereka yang ‘bersyukur’ apabila bom atom digugurkan di dua bandaraya di Jepun, Hiroshima dan Nagasaki yang mengorbankan ratusan ribu nyawa orang-orang awam.
Peristiwa pengeboman pada tanggal 6 dan 9 Ogos 1945 itu akhirnya telah membawa kepada kekalahan tentera nippon dalam Perang Dunia Kedua dan seterusnya berundur meninggalkan Malaya.
Di bumi Malaya ketika itu, kemusnahan dan kematian ratusan ribu nyawa manusia di Jepun tidaklah ditangisi, sebaliknya diraikan dengan ‘kemenangan’ British di negara ini serta menyambut kembalinya orang-orang putih yang dianggap sebagai ‘tuan’ oleh sesetengah golongan masyarakat negara ini.
Kesan radiasi dari pengeboman tersebut bukan sahaja telah meragut ratusan ribuan nyawa orang-orang awam yang tidak berdosa ketika itu malahan turut membunuh ribuan nyawa lagi walaupun setelah beberapa lama peristiwa tersebut berlaku.
Pengguguran bom atom tersebut telah meninggalkan kesan yang amat mendalam dan berpanjangan berdekad-dekad lamanya baik dari segi fizikal mahupun mental masyarakat di sana.
Adakah nilai nyawa anak-anak kecil, ibu, bapa, warga tua, wanita dan orang awam yang lain di dua bandaraya tersebut ‘lebih rendah nilainya’ berbanding nyawa manusia di sini?
Ketika pihak yang mendakwa diri mereka sebagai pencinta keamanan menolak perjuangan bersenjata bagi memerdekakan tanah air, hakikatnya pada masa yang sama mereka turut meraikan kemusnahan maha dahsyat dan kematian beribu penduduk awam di negara matahari terbit itu.
Sistem demokrasi berparlimen
Setelah 54 tahun negara mencapai kemerdekaan, umumnya masyarakat negara ini menolak ideologi komunis dan kita juga percaya sistem demokrasi berparlimen yang ada hari ini merupakan sistem terbaik untuk dipraktikkan.
Sekurang-kurangnya hingga ke hari ini walaupun sistem yang dipraktikan ini masih mempunyai kelemahan dan kerosakan di sana sini yang patut dibaiki.
Sekaligus, percubaan mana-mana pihak untuk mengembalikan ideologi komunis untuk bertapak semula di negara ini sekiranya ada, boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak wajar dan sama sekali harus ditolak.
Walaupun begitu, peranan dan pengorbanan yang tidak sedikit para pejuang berhaluan kiri tidak mengira siapa mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air sama sekali tidak boleh dinafikan dalam sejarah tanah air.
Mengakui hakikat tersebut langsung tidak membawa makna sebagai percubaan mengembalikan ideologi komunisme di negara ini yang tentunya akan ditolak mentah-mentah oleh rakyat negara ini.
Biarpun mereka ini bukanlah di kalangan golongan bangsawan yang mampu duduk semeja dengan orang Inggeris sambil menghisap paip atau cerut import dan mereka menganuti ideologi yang berbeza, tetapi mereka telah menumpahkan darah mereka demi tanah airnya.
Kalau pun mengangkat mereka sebagai wira boleh dianggap sesuatu yang melampau, tetapi peranan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Sejarah haruslah bersifat jujur kepada generasi terkemudiannya dan generasi ini akan menuntutnya kemudian hari.
Sejarah yang jujur terhadap generasi bangsanya mampu membentuk generasi baru lebih cekal menerima hakikat yang bukanlah semuanya manis-manis untuk ditelan.
Kredit/Rujukan
Sumber artikel enam bahagian ‘Gerakan Kiri Kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan’ ini dirujuk daripada:
- Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan oleh Dr Mohamed Salleh Lamry (mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM), terbitan Penerbit UKM.
- Communist Party of Malaya: The Inside Story, oleh Aloysius Chin (bekas Senior Assistant Commissioner 1 Cawangan Khas PDRM yang terlibat memerangi komunis), terbitan Vinpress.
- Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10, oleh Ibrahim Chik (bekas anggota Rejimen ke-10), terbitan Penerbit UKM.
- Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik, oleh Said Zahari (bekas wartawan veteran sebelum merdeka), terbitan Utusan Publications and Distributors.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan