Rabu, 28 September 2011

Pemuda UMNO minta Seksyen 15 AUKU dimansuhkan

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Pergerakan Pemuda UMNO hari ini meminta kerajaan memansuhkan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang melarang pelajar daripada terbabit atau meluahkan rasa simpati serta sokongan kepada mana-mana parti politik negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata permintaan memansuhkan Seksyen 15 itu disuarakan golongan mahasiswa menerusi kaji selidik yang dilakukan pergerakan itu tahun lalu.

"Kita harap kerajaan teliti Seksyen 15 AUKU ini bagi memberi peluang kepada penuntut di Institusi Pengajian Tinggi terbabit secara langsung dalam politik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Pemuda UMNO di Bangunan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu juga sejajar dengan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Katanya, Pemuda UMNO menyokong pemansuhan ISA kerana ia dilakukan sebagai menghormati hak-hak kebebasan dan demokrasi di negara ini.

Sementara itu, Khairy berkata Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat EXCO di seluruh negara, bermula dengan Selangor hari ini, dalam usaha melipatgandakan usaha serta menyusun strategi bagi mengukuhkan jentera parti.

Pergerakan itu juga akan menganjurkan sesi penerangan berhubung isu kontroversi yang ditimbulkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang menganggap komunis sebagai hero berbanding pihak polis.

Khairy berkata, sesi penerangan itu akan bermula di Bukit Kepong, Parlimen Pagoh di Johor pada 29 Oktober ini dengan kerjasama beberapa persatuan bekas polis dan askar serta pejuang peristiwa berdarah itu.

"Kita akan terangkan isu ini kerana ia sangat sensitif kepada semua pihak lebih-lebih lagi pejuang kemerdekaan serta perkara yang membabitkan sejarah," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: