Khamis, 15 September 2011

Musa serah kepada rakyat untuk tentukan nasib Parti KITA di Sabah


KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyerahkan kepada rakyat Sabah untuk menilai dan menentukan nasib Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air Malaysia (KITA) yang melebarkan sayapnya ke negeri ini.

"Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Parti KITA bebas berbuat demikian. Terpulanglah kepada rakyat menilai perjuangan mereka.

"Bagi kita dalam Barisan Nasional (BN), kita akan gunakan masa untuk bekerja bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan perhatian kita dari masa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Kerajaan Negeri Sabah di Wisma Innoprise, dekat sini Khamis.

Musa yang juga pengerusi BN negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindakan Parti KITA yang melebarkan sayapnya ke Sabah baru-baru ini boleh menjadi pesaing atau ancaman kepada BN negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Semalam, bekas menteri persekutuan dan negeri Datuk Pengiran Othman Rauf dipetik sebagai berkata bahawa beliau adalah pengerusi jawatankuasa protem parti itu di Sabah dan mengucapkan terima kasih kepada ketua Parti KITA Datuk Zaid Ibrahim yang menaruh kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi Parti KITA di negeri ini.

Musa berkata agenda BN lebih menumpukan kepada usaha membangunkan Sabah dan bukannya bermain politik sepanjang masa.

Mengenai saranan pelbagai pihak untuk mengurangkan mesin slot di Sabah, beliau berkata kerajaan negeri sedia meneliti perkara itu.

Terdahulu, Musa berkata mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus telah menggariskan beberapa isu yang perlu diberi perhatian termasuk usaha menangani persepsi umum terhadap perkhidmatan awam negeri, keutuhan pentabdiran melalui pendekatan pengurusan nilai, program pengukuhan integriti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah.

Beliau berkata perkhidmatan awam negeri juga hendaklah melaksana usaha penambahbaikan sistem penyampaian secara berterusan.

Musa berkata usaha memperkukuh nilai integriti secara berterusan dan mengikis amalan negatif dalam perkhidmatan awam negeri turut diberi penekanan.

- Bernama

Tiada ulasan: