Selasa, 13 September 2011

Lain Yang Ditanya Lain Yang Dijawab

Oleh Khalid Samad


Saya membaca respon dari Dato’ Adzib berhubung ‘pertemuan MAIS, JAIS, Wakil Pejabat Peguam Negara dan 45 NGO’ yang disiarkan oleh beberapa laman berita alternatif dengan perasaan penuh minat. Apa yang dipersoalkan ialah tujuan pertemuan itu dan ‘statusnya’, iaitu sama ada ianya pertemuan rasmi atau sebaliknya.

Responsnya ialah, pengerusi pertemuan ialah exco agama, orang keliling MB yang ingin menjatuhkan MB bukan MAIS ataupun JAIS dan akhirnya, beliau meminta peguam-peguamnya untuk mengkaji samada ada ruang untuk saya disaman. Lain yang diminta lain pula yang dijawab!

STATUS PERTEMUAN

Saya tidak tanya siapa yang mempengerusikan pertemuan berkenaan. Saya tanya adakah pertemuan tersebut pertemuan rasmi atau sebaliknya. Sekiranya rasmi, maka di mana surat jemputannya, apa agendanya dan mana minit mesyuaratnya? Sekiranya semua itu tidak ada dan pertemuan diadakan secara jemputan bisik-bisikan, tanpa surat rasmi, maka sudah pasti ianya pertemuan konspirasi gelap! Atau ianya satu kebiasaan untuk MAIS dan JAIS membuat pertemuan ‘konspirasi gelap’ sebegini? Mirip tahap profesionalisma BN kalau begitu!

Saya ingin tahu siapa yang menjemput dan menganjurkan pertemuan, bukan siapa yang jadi pengerusi. Pengerusi kadang-kadang main tangkap muat sahaja, lebih-lebih lagi pertemuan TIDAK rasmi. Ada yang dijemput hadir, bila hadir, dia diketengahkan sebagai pengerusi sebagai tanda ‘hormat’ kononnya. Akhirnya pengerusi tersebut hanya sekadar memberi laluan untuk Pengerusi MAIS dan wakil pejabat Peguam Negara bercakap! Itu merupakan satu kemungkinan, bukan saya menyatakan ianya berjalan begitu.

Berhubung kenyataan Yusri dari PEMBELA yang keluar dalam Sinar Harian, adalah jelas dia bercakap mengenai pertemuan lain. Bukan pertemuan yang saya maksudkan. Namun oleh kerana dia dari PEMBELA, maka mungkin dia merasakan dirinya terpanggil untuk membela Dato Adzib, walaupun dia tidak tahu hujung pangkal. Tidak mengapa, saya maafkan dia.

ORANG KELILING MB YANG INGIN MENJATUHKAN MB!

Amboi-amboi Dato Adzib, bukankah saya sudah kata, kalau teringin sangat main politik, harap terjun masuk gelanggang. Jangan guna jawatan dalam MAIS untuk berpolitik, tidak manis. Yang geli hatinya, Dato Adzib kata kenyataan saya tidak bertanggung-jawab! Yang kenyataan dia yang jelas bertujuan untuk mengadu-domba dan menimbulkan syak wasangka di kalangan MB dan ‘orang kelilingnya’ dia anggap kenyataan bertanggung jawab?

Saya rasa Dato Adzib perlu samada buktikan tuduhan liar beliau dengan mendedahkan siapa yang dia maksudkan atau minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Selangor atas kenyataan beliau yang tidak bertanggung-jawab dan celupar itu.

Bagi saya, lagi banyak dia bercakap, lagi nampak jalur biru tua atas dahinya, biru tua UMNO/BN lah apa lagi.

INGIN SAMAN?

Respon ini yang terhebat. Orang-orang macam Dato Adzib anggap mereka ini tidak boleh dipersoal, seolah-olah mereka ini maksum. Kamu soal, saya saman kata mereka!

Hakikatnya saya tidak menuduh apa-apa; saya hanya bertanya melalui pembuka ayat “saya difahamkan..”, betul atau tidak betul tidak tentu lagi. Menunggu jawapan darinya. Yang dia pula tiba-tiba ingin melompat apa hal?

Saya sebagai wakil rakyat Parlimen Shah Alam merasa yakin bahawa warga Shah Alam ingin tahu samada MAIS digunakan sebagai ‘kubu pertahanan terakhir’ orang-orang UMNO dan diperkudakan untuk tujuan politik menjatuhkan MB ataupun sebaliknya. MAIS bukan parti politik dan saya rasa yakin rakyat Selangor, bukan sekadar warga Shah Alam, tidak redha sekiranya MAIS dijadikan alat politik UMNO atau mana-mana parti politik sekali pun.

Tapi inilah masalah orang yang berotak UMNO, dulu, sekarang dan selamanya. Mereka anggap jawatan mereka anugerah UMNO untuk digunakan sesuka hati mereka demi kepentingan UMNO dan tiada yang berhak untuk mempersoalkan tindakan mereka. Sedangkan saya difahamkan MAIS mendapat banyak kelebihan, seperti tanah dengan harga yang ‘istimewa’ atas alasan demi kepentingan ummat Islam Selangor, bukan ianya turun dari langit atau dari kocek bapa mereka! Ianya tetap dari khazanah kekayaan Negeri Selangor! Namun mereka anggap mereka tidak boleh disentuh atau disoal, kononnya.

Saya ingin sampaikan satu berita buruk kepada mereka ini. Pakatan Rakyat merupakan kerajaan yang berpaksikan ketelusan dan pertanggung-jawaban. Budaya mereka yang jelas bertentangan itu perlu ditukar!

Adakah itu sebabnya mengapa mereka dikatakan ingin menjatuhkan MB? Supaya dinaikkan kembali UMNO/BN supaya budaya mereka yang tidak telus dapat diteruskan? Terfikir pula, apa yang ingin mereka sembunyikan?

ORANG POLITIK TIDAK BOLEH BERCAKAP MENGENAI ISLAM

Ada orang yang kata “Tanah Melayu tidak pernah dijajah”. Saya kata bukan sekadar dijajah, malahan sehingga hari ini, masih ada otak yang tidak merdeka. Kata-kata yang ingin memisahkan politik dengan agama sehingga melarang orang politik bercakap menganai Islam, adalah tanda otak seseorang yang masih tidak merdeka. Ianya dijajah British dengan fahaman sekularisma mereka yang ingin memisahkan agama dengan politik!

Saya faham mengapa British ingin memisahkan agama dari politik. Ianya adalah kerana mereka melihat Islam itu sebagai sesuatu yang mengancam kuasa dan kedudukan mereka menjajah Negara ummat Islam. Kerana itulah Islam dilihat sebagai sesuatu yang merbahaya dan oleh itu tidak boleh dibenarkan untuk mewarnai pemikiran politik ummat Islam kembali setelah jatuhnya Khalifah Othmaniyyah. Dengan kerana bahayanya Islam sebagai kuasa politik, maka British mengharamkan peranan agama dalam politik. Orang politik tidak boleh bercakap mengenai agama kerana Islam itu bahaya! Adakah Dato Adzib juga mempunyai I’tiqad sebegini?

Jika diturut pegangan ini, maka Rasulullah (SAW) sendiri tidak akan diberi tauliah kerana Baginda seorang pemimpin politik. Khulafa Ar-Rasyidiin, iaitu Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali (RA) kesemua mereka juga akan bermasalah mendapatkan tauliah di bawah pentadbiran Dato Adzib. Pegangan ini bercanggah dengan apa yang dituntut oleh Islam sendiri dan boleh dianggap sebagai satu pegangan yang salah dan sesat. Ia berpaksikan fahaman bahawa agama tidak ada kena mengena dengan urusan dunia seperti yang terkandung dalam ungkapan “beri kepada Ceaser (pemerintah) hak Ceasar dan beri kepada Tuhan hak Tuhan”. Ianya seolah-olah menyatakan bahawa hak Ceasar tidak terjatuh di bawah kekuasan dan hak Allah. Adakah Dato’ Adzib membawa ajaran songsang ini?

Sepatutnya, sebagai orang Islam, kita perlu mengalu-alukan usaha mencorakkan politik mengikut ajaran-ajaran Islam serta kemampuan ahli politik untuk memahami, membicara dan mengamalkan Islam. Mengapa kita ingin halang berkembang-luasnya pengaruh Islam ke dalam arena kehidupan masyarakat, dalam aspek sosial, ekonomi, perundangan dan juga politik? Kerana UMNO tidak mampu? Dan oleh kerana UMNO tidak ingin dan tidak mampu, maka Dato Adzib ingin jadi penghalang tersebar-luasnya budaya politik Islam di Negeri Selangor? Supaya orang tidak akan dapat melihat ketidak mampuan UMNO kerana melalui undang-undang Adzib ini, yang lain akan turut terhalang?

Amatlah malang bagi ummat Islam di Selangor apabila badan Islam seperti MAIS takut pada Islam dan ingin menghalang berkembang-luasnya kefahaman rakyat Selangor terhadap Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Saya doakan DYMM Sultan Selangor tidak terpengaruh dengan pemikiran yang songsang sebegini dan akan menyedari bahawa hanya kebaikan dan kerahmatan akan terhasil apabila semua rakyat Negeri Selangor, bukan sahaja ahli politik bercakap dan beramal mengikut ajaran Islam.

DIDAKWA JAIS

Saya didakwa JAIS! Bukan kerana khalwat atau meminum arak, tetapi kerana saya bercakap menengai Islam. Dan apa yang saya sampaikan tidak pula dikatakan salah dari sudut maksud dan isi kandungannya, hanya saya tidak dibenarkan bercakap mengenai Islam.

Saya tidak mahu berbicara panjang mengenainya di sini. Saya hanya ingin bertanya, siapakah yang berani mengharamkan sesuatu yang telah diwajibkan Allah dan RasulNya?

Islam bukan milik JAIS sehingga dianggap JAIS berhak memberi kebenaran atau melarang seseorang bercakap mengenai Islam. Sebagai seorang Muslim, saya berhak bercakap mengenai agama saya, iaitu Islam dan memang digalakkan, malahan ada yang menyatakan wajib menyampaikan risalah Islam.

Kalau ada yang disampaikan didapati tidak betul dan bercanggah dengan ajaran Islam, maka dakwa saya atas sebab itu, bukan kerana saya bercakap mengenai Islam! Kerana itu adalah sebahagian dari tugasan saya sebagai seorang Muslim dan pimpinan Parti Islam.

Dan insyaAllah akan saya teruskan, seperti yang pernah disabda oleh Rasulullah (SAW):

“Walaupun diletakkan Matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk ku tinggalkan kerja ini, tidak akan aku lakukan sehingga Allah memberikan kemenangan kepada usaha ini atau membinasakan ku dalam memperjuangkannya” (Au kama Qal).


WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan: