Isnin, 12 September 2011

Komsas: Empat penulis lapor polis

Mereka mengadu bahawa penerbit enggan bayar royalti selepas terbitkan karya mereka sebagai teks Komsas.



KUALA LUMPUR: Empat penulis yang karya mereka terpilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) membuat laporan polis semalam kerana merasakan diri mereka ditipu dan dianiaya penerbit.

Mereka ialah Rohani Deraman (gambar) yang membuat laporan polis di Johor Bahru, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kota Bharu) serta pasangan suami-isteri, Mohd Izan Abd Hazes dan Hazama Harun (Kuala Lumpur).

Amy Suzani membuat laporan di di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa pada pukul 12:30 tengah hari semalam.

“Saya merasakan inilah pilihan paling tepat setelah terlalu banyak dolak-dalik oleh pihak terbabit. Pintu untuk perbincangan yang membolehkan saya mendapat hak saya bagaikan sudah tertutup.

“Demi mempertahankan hak saya sebagai penulis yang berhak menikmati royalti atas karya yang saya hasilkan, saya ke balai polis membuat laporan.

“Laporan ini juga untuk kegunaan membuat laporan di SPRM bagi memulakan siasatan kes penipuan ini, jika perlu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di blog Uthaya Sankar SB.

Puisi “Seorang Insan Istimewa” karya Amy Suzani termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas.

“Tapi Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada saya,” katanya.

Cerpen “Limau Bali dan Semangkuk Daging” pula memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995.


“Cerpen itu tersiar dengan judul ‘Budi Semangkuk Daging’ dalam antologi Budi Semangkuk Daging terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti,” kata Amy Suzani.

Dianiaya penerbit

Rohani pula membuat laporan di Balai Polis Setia Indah, Johor Bahru pada pukul 1:30 petang.

“Saya rasa dianiaya penerbit. Bukan sahaja tidak mahu bayar royalti, malah mungkin menipu Kementerian Pelajaran Malaysia dengan surat izin palsu.

“Saya hanya tahu cerpen saya jadi teks Komsas apabila dimaklumkan beberapa pelajar. Apabila saya tanya penerbit, dia kata, saya dah tak ada hak atas cerpen dan novel itu,” kata penulis sepenuh masa itu.

Menurutnya, dia amat berharap karyanya dijadikan teks Komsas dan dia menerima royalti yang sepatutnya diterima secara sah menerusi teks Komsas itu.

“Saya juga berharap tidak ada sesiapa menganiaya atau mengambil kesempatan terhadap saya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di blog.

Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kemudian diterbitkan semula oleh Edu Quest Publisher.

Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua.

“Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Edu Quest Publisher tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada saya,” katanya.

Novel Cempaka Putih Untukmu pula diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini novel itu diterbitkan oleh Nur-Ilmu dengan judul Cempaka Putih Untukmu dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Hazama dan Mohd Izan pula membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar pukul 3:00 petang.

Menurut Hazama, penerbit menerbitkan novelnya sebagai teks Komsas tanpa pengetahuannya dan kemudian enggan membayar royalti yang sepatutnya dia terima.

“Kementerian Pelajaran Malaysia sudah meletakkan syarat bahawa penerbit wajib mendapatkan surat izin daripada penulis asal sebelum menerbitkan teks Komsas.

“Maka, saya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa penerbit mungkin mengemukakan dokumen palsu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (Kerajaan Malaysia), iaitu surat izin yang kononnya ditulis dan ditandatangani oleh saya selaku penulis asal karya berkenaan. Ini memang kes penipuan yang sangat berat,” katanya dalam kenyataan di blog.

Novel Di Sini Bukan Duniaku karya Hazama diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Bukan Duniaku oleh Karya Hartamas Enterprise dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka.

Surat palsu

Suaminya, Mohd Izan juga menghadapi masalah sama.

“Penerbit enggan bayar royalti selepas terbitkan karya saya sebagai teks Komsas. Penerbit langgar Akta Hak Cipta 1987 dan juga kemungkinan besar kemukakan surat izin palsu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tender teks Komsas.

“Saya berharap kes ini tidak dilihat sebagai kes terpencil dan dipandang ringan. Saya mengharapkan pembelaan terhadap hak cipta, harta intelek dan hak royalti saya sebagai penulis,” katanya.

Novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006.

Novel itu diterbitkan semula dengan judul Hikmah oleh V-Nice Resources dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Apabial dihubungi, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd meminta saya menuntut bayaran daripada V-Nice Resources manakala V-Nice Resources pula mengatakan ia sudah membuat bayaran kepada Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd. Hingga kini tiada apa-apa penyelesaian,” kata Mohd Izan.

Tiada ulasan: