Khamis, 22 September 2011

KITA anjur jelajah sokong PM 'selamatkan demokrasi'

MALAYSIA KINI


Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim, akan mengadakan jelajah demokrasi KITA ke seluruh negara bagi meminta rakyat menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelamatkan demokrasi di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, urusetia jelajah tersebut berkata pengumuman pemansuhan undang-undang darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang berkaitan akhbar, yang memberikan kebebasan berhimpun dan bersuara kepada rakyat, adalah perisytiharan yang penuh bermakna dan bersejarah.

"Adalah amat penting bagi rakyat di semua peringkat di negara ini memahami tujuan dan maksud transformasi dasar ini.

"Tanpa pemahaman yang mendalam, rakyat boleh dikelirukan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang transformasi berkenaan," tambahnya.

Menurut urusetia tersebut, usaha perdana menteri wajar mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana transformasi berkenaan mendatangkan manfaat kepada rakyat seluruhnya.

"Atas kesedaran inilah dan bagi memastikan usaha murni perdana menteri tidak tergendala, parti KITA akan mengadakan pertemuan dengan orang ramai untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam beberapa hal berkaitan dengan isu ini.

"Persoalan bagaimana negara dan rakyat akan mendapat manfaat daripada transformasi ini akan diperjelaskan," tambahnya.

Jadual jelajah tersebut ialah Pasir Putih (27 Sept), Kota Bharu (28 Sept), Jerantut (2 Okt), Petaling Jaya (4 Okt), Kapar (6 Okt), Bangi, Selangor (9 Okt), Seri Andalas (14 Okt), Kota Kinabalu (17 Okt), Sungai Petani (20 Okt) dan Kelana Jaya (26 Okt).

Menurut urusetia berkenaan, jadual jelajah ke kawasan lain akan diberitahu kelak.

Tiada ulasan: