Sabtu, 24 September 2011

Kempen plastik dari pemimpin plastik

Oleh Adil Mat Selamat


Kita telah melihat bagaimana kehangatan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 sudah mula membara. Semua pasti-parti politik sedang sibuk berunding, menyusun strategi dan mengumpul modal sebagai kekuatan untuk mengharungi suatu gambaran yang disebut oleh Lim Kit Siang sebagai “kempen politik terkotor dalam kempen-kempen kotor yang pernah berlaku”.

Isyarat ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Najib Razak bukan sahaja terdesak, malah akan membelanjakan wang rakyat dalam kempen Barisan Nasional, termasuk segala sumber khazanah negara juga akan dimanipulasi secukup-cukupnya. Ibarat batang tebu yang sudah pecah diramas namun masih dipulas lumat untuk memerah hasilnya lagi.

Di sebalik kegiatan kempen yang agresif ditunjukkan oleh UMNO-BN, ia mengundang beberapa persoalan kepada kita.

Contohnya, salah satu kempen terbaru yang sedang dijalankan oleh UMNO-BN ialah “pemukiman” ADUN dan Ahli Parlimen mereka di Kuala Selangor, dan dengarnya akan diperluaskan di tempat lain.

Strategi langgar lari

Pertama, atas nama apa pun program UMNO-BN itu, baik pemukiman atau mesyuarat, orientasi kegiatan itu adalah jelas sebagai satu kempen pilihan raya. Laporan telah menunjukkan bahawa ADUN dan Ahli Parlimen UMNO-BN pergi berjumpa dan bermalam di rumah-rumah rakyat. Soal rakyat terima atau tidak, bukan isunya.

Tetapi kita ingin bertanya, jika UMNO-BN menggunakan kaedah ini atas nama mesyuarat atau pemukiman apa sekali pun, pemukiman apakah jenisnya ini? Bermukim di rumah orang kampung dan bermesyuarat di rumah penyokong BN?

Bukankah ini sudah jelas sebagai suatu kempen pilihan raya (yang jika dilakukan oleh Pakatan, sudah tentu Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengamuk bising kononnya melanggar undang-undang)?

Persoalannya ialah Perdana Menteri belum lagi membubarkan Dewan Rakyat, jadi bagaimana SPR gagal melihat perlanggaran kod etika ini? Bukankah kempen politik (pilihan raya) baik secara formal atau tidak, mestilah diadakan di dalam waktu berkempen, bukan dalam keadaan sebegini.

Atas justifikasi undang-undang manakah yang SPR gunakan ketika ini? Atau SPR sewaktu Najib mencanangkan Malaysia akan menjadi negara demokrasi terbaik di dunia, minggu lalu?

Apa tugas wakil rakyat

Kedua, ini penting buat semua rakyat memahami adakah pendekatan politik UMNO-BN khususnya Najib Razak ini benar-benar ikhlas dan mencerminkan kejujuran UMNO untuk berubah.

Memahami tangungjawab seorang pemimpin atau wakil rakyat, amatlah penting bagi kita dalam konteks demokrasi di zaman moden ini.

Tugas dan tanggungjawab wakil rakyat bukanlah sibuk bermalam di rumah orang kampung, itu tidak menunjukkan apa-apa makna yang baik dan indah pun. Tugas sebenar wakil rakyat ialah menyelesaikan masalah dan keperluan orang ramai.

Menyelesaikan masalah orang ramai adalah kerja di pejabat, sama ada pejabat kerajaan atau pejabat wakil rakyat. Dan apabila wujud keperluan bagi wakil rakyat untuk melawat rakyat, tapak projek atau tapak bencana, lakukanlah lawatan seperti kelaziman amalan politik kita, itu sudah memadai dan lebih semula jadi sifatnya.

Tanda-tanda ketidakikhlasan wakil rakyat, baik yang tidak buat kerja atau pemalas atau sekadar menabur janji ialah dengan melakukan lawatan dan bermalam di rumah orang tanpa apa-apa sebab penting, melainkan ada udang di sebalik batu.

Strategi kempen sebegini tidak perlu dicontohi oleh rakyat dalam menilai keikhlasan orang politik. Sebaliknya inilah budaya yang menyebabkan wakil rakyat kita semakin malas untuk bekerja dan menipu orang ramai dengan gula-gula “bermalam di rumah rakyat”.

Jumpa rakyat itu penting, tetapi bermalam di rumah rakyat itu, sepatah kata Hishamudin Rais “poyo”.

Realiti politik UMNO-BN

Inilah realiti politik pasca Mac 2008. Perangai kebanyakan ahli politik UMNO-BN sudah semakin plastik dan segala program untuk rakyat juga bertambah plastik.

Dengan sedikit seloroh, kerana itu kebanyakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, termasuk Pulau Pinang, memperkenalkan kempen anti beg plastik untuk menjaga alam sekitar daripada tercemar dengan buangan plastik. Memang ada sedikit baiknya plastik tapi keburukannya lebih memudaratkan kehidupan.

Sama seperti janji-janji untuk jadikan Malaysia negara demokratik terbaik di dunia, ianya juga bersifat plastik.

Cakap siang pandang-pandang; jika rakyat masih tidak nampak helah di depan mata ini, alamat gelap masa depan semua.

Statistik bernombor yang ada sekadar menunjukkan bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat semakin bertambah. Bukankah antara rakyat yang sedang teruk menangggung ini juga adalah pengundi UMNO-BN?

Jangan mudah terpedaya dengan helah bermukim atau bermuka manis. Setakat dihulur sedikit wang ringgit untuk disesali bertahun-tahun kemudian, itu bukan jalan keluarnya. Perubahan perlu tulen dan bukan sekadar janji-janji manis. – Roketkini.com

Tiada ulasan: