Ahad, 25 September 2011

Felcra bayar dividen RM224 juta

MALAYSIA KINI


Felcra yang terlibat dalam pembangunan tanah, khususnya getah, telah mengeluarkan dividen RM224 juta kepada kira-kira 95,000 pesertanya di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Juzilman Basir berkata sebahagian dividen itu diagihkan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu dan sebahagian lagi akan diagihkan selepas itu.

"Pada 2010, kita telah agihkan sebanyak RM157 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis mesra hari raya warga Felcra Berhad Wilayah Timur di Stadium Tertutup di Gong Badak dekat Kuala Terengganu hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah Felcra Berhad Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Datuk Ir Azizuddin Meor Hamzah.

Dengan harga getah yang semakin baik dan produktiviti Felcra yang meningkat tahun ini, Juzilman berkata ia mungkin menjana pendapatan yang lebih tinggi dan memberangsangkan berbanding tahun lepas.

"Memandangkan kepada perkembangan itu, kita menjangkakan Felcra akan mengeluarkan lebih banyak lagi dividen untuk diagihkan kepada pesertab tahun ini," katanya.

Beliau berkata Lembaga Pengarah Felcra Berhad telah dimaklumkan perkara itu.

Juzilman berkata Felcra akan meningkatkan aktiviti dan juga akan meningkatkan hasil bagi menambahkan pendapatan para peserta, yang sesuai dengan teras perniagaan agensi kerajaan itu.

Dalam hal ini, Felcra akan menguruskan ladang-ladang peserta di seluruh negara selain dari masa ke semasa meneruskan usaha mencari tanah terbiar untuk dibangunkan.

Felcra juga banyak melaksanakan rancangan pembangunan tanam semula yang sesuai dengan umur rancangan itu yang menjangkau 43 tahun.

"Sasaran kita ialah untuk menanam semula lebih kurang 7,000 hektar setahun," katanya.

Selain menanam semula dan melaksanakan projek baharu, Juzilman berkata Felcra juga memastikan supaya tanah yang akan diusahakannya sesuai ditanam dengan tanaman kontan untuk menambahkan sedikit pendapatan hasil peserta.

Tanah tersebut ditanam dengan tanaman jangka pendek seperti pisang berangan, nenas dan tebu sementara menunggu tanaman semula mengeluarkan hasil. - Bernama

Tiada ulasan: