Meskipun Malaysia pernah mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK, atau GDP, singkatan dalam bahasa Inggeris) dengan kadar 7.2% pada tahun 2010, "bukti pemulihan" selepas kemelut ekonomi global tahun 2008/09, namun kepesatan ini hanya muncul sekelip mata. Seandainya kita meneliti data pertumbuhan ekonomi untuk 18 bulan yang lalu, jelas ia memperlihatkan graf yang menurun.
Menurut maklumat Jabatan Perangkaan Malaysia, biarpun Malaysia mencatat kadar pertumbuhan mendadak, iaitu 7.2% secara keseluruhannya pada tahun 2010, namun seandainya diteliti pertumbuhan setiap musim, ia menjunam dari 10.1% pada musim pertama tahun 2010 hingga 4.8% pada musim keempat. Mengorak langkah memasuki tahun 2011, momentum pertumbuhan ekonomi bukan sahaja tidak terpacu, sebaliknya merosot dari 4.9% pada musim pertama kepada 4% pada musim kedua.
Pertumbuhan ekonomi negara kita yang perlahan berkait rapat dengan struktur ekonomi negara yang rapuh. Sama ada permintaan luaran (external demand) mahupun permintaan domestik, keadaannya tidak diperbaiki susulan daripada pelan transformasi ekonomi negara oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, malah kembali kepada keadaan statik sebagaimana zaman pasca kemelut 1997 dan sebelum kemelut ekonomi global 2008.
Perdagangan luar menyusut
Dari segi permintaan luaran, perdagangan luar negara kita sedang menyusut secara beransur-ansur. Pertumbuhan eksport diperlahankan dari 19.1% pada musim pertama tahun 2010 kepada 4.1% pada musim kedua tahun 2011; sementara pertumbuhan import pula menyusut dari 27.8% kepada 2.7% dalam tempoh yang sama.
Selain itu, angka import/eksport setiap bulan juga memperlihatkan kemerosotan - dari pertumbuhan dua digit setiap bulan dalam enam bulan pertama tahun 2010 kepada satu digit dalam enam bulan pertama tahun 2011. Pertumbuhan import setiap bulan turut menunjukkan pola yang sama, mengakibatkan lebihan dagangan kita yang "dibina" selepas kemelut ekonomi 1997 semakin menyempit.
Keterbukaan ekonomi Malaysia kepada luaran agak tinggi (dengan nilai eksport mencakupi nisbah kira-kira 100% GDP), mengakibatkan Malaysia agak peka terhadap perubahan suasana global. Justeru itu, pertumbuhan ekonomi kita tidak terelak daripada menjunam apabila ekonomi global diperlahankan.
Masih bergantung kepada pasaran Amerika-Eropah
Pasaran eksport negara kita bergantung kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sekian lama ini. Lebih-lebih lagi, banyak produk komersial yang dieksport Malaysia adalah pembuat peralatan asal (Original Equipment Manufacturer, OEM), bahan perantaraan yang digunakan untuk menghasilkan produk akhir, malah bahan mentah - kekurangan rantai produk nilai tinggi- mengakibatkan kita masih berada pada tahap rantai pembuatan dan eksport produk bernilai rendah.
Dalam keadaan di mana negara Asia menyasarkan pasaran eksport yang sama (negara maju), negara kita bukan sahaja terperangkap dalam persaingan harga barangan, nilai mata wang, malah menjadi rapuh kerana sensitiviti yang tinggi ke atas perubahan ekonomi negara maju.
Satu kajian Asia Development Bank (ADB) yang dikemukakan pada awal tahun 2010, berjudul The Ties that bind Asia, Europe and United States melaporkan bahawa, walaupun perdagangan antara negara rantau Asia (melainkan Jepun) berkembang pesat, namun kebanyakannya ditunjangi intermediate good, yang mana tujuan utamanya adalah untuk kegunaan dieksport semula.
Dengan kata lain, kebanyakan perdagangan eksport antara negara Asia bertujuan untuk kegunaan menghasilkan produk akhir, dan dieksport semula ke negeri di luar rantau Asia, iaitu negara industri utama seperti Amerika dan Eropah, yang menjadi destinasi terakhir produk barangan Asia.
Menurut laporan tersebut, meskipun 40.4% eksport rantau Asia (termasuk Malaysia) adalah Asian Intraregional Trade, namun hanya 22.2% produknya dipasarkan dalam rantau Asia. Secara perbandingan, walaupun pasaran seperti Amerika-Eropah, Jepun mencakupi nisbah 59.6% daripada eksport rantau Asia, namun pada hakikatnya ia mencakupi nisbah 77.8%, dengan Amerika Syarikat (25.1%), Eropah (22.7%) dan Jepun (11.4%).
Malah, sehingga Jun 2011, Singapura, China, Jepun, Eropah, Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Korea, Taiwan dan Hong Kong mencatat 77.9% daripada eksport Malaysia. Namun, ia tidak termasuk eksport secara tidak langsung ke negara Amerika-Eropah, iaitu bahan perantaraan yang dieksport ke negeri lain, yang kemudiannya diproses semula dan dieksport ke negara Amerika-Eropah.
Misalnya, 13% produk Malaysia yang dieksport ke China digunakan untuk diproses semula, dan dieksport ke negara Amerika-Eropah kemudiannya. Dengan kata lain, kebergantungan negara kita terhadap pasaran Amerika-Eropah lebih tinggi daripada angka yang dipaparkan. Oleh itu, kita bukan sahaja berdepan dengan risiko eksport langsung ke negara Amerika-Eropah, malah juga risiko eksport China ke negara tersebut yang menggunakan bahan perantaraan ekport kita.
Oleh itu, ketika kemelesetan ekonomi Amerika-Eropah pada tahun 2008/09, jumlah eksport Malaysia telah jatuh 16.6%. Pada masa yang sama, import negara kita pada tahun yang sama juga menurun 16.6%, kerana hampir 80% import kita adalah bahan perantaraan yang digunakan untuk pemprosesan semula bagi diekport semula. Juga, tsunami dan gempa bumi Jepun pada Mac 2011 memberi kesan negatif kepada ekonomi negara kita, sehingga pertumbuhan ekonomi diperlahankan kepada 4% pada musim kedua.
Oleh itu, seandainya ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah mengalami krisis buat kali kedua, maka ekonomi dunia akan menjadi tidak menentu, lantas negara kita akan berdepan dengan cabaran yang lebih sengit pada tahun 2012.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 20 Ogos 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan