Selasa, 27 September 2011

Bukan calon sama: DAP

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - DAP belum menyenarai pendek calon yang sesuai bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kerana masih menunggu keputusan kepimpinan tertinggi berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, walaupun Dun Derga belum diputuskan sama ada milik DAP atau PKR, pihaknya tetap membuat persediaan awal.

“Setakat ini kita ada senarai nama tidak rasmi.

“Bagaimanapun, masih belum dibawa berbincang dalam jawatankuasa kepimpinan DAP Kedah.

“Kita akan nilai setiap nama untuk pastikan mereka layak bertanding di kawasan terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai Dun Derga yang mempertaruhkan bekas Setiausaha Organisasi DAP Kedah, Teoh Teik Guan pada PRU12 lalu, Guan Aik berkata, Teik Guan tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan negeri sejak dua tahun lalu.

“Dia kini ahli biasa namun itu bukan petanda sama ada seseorang itu layak atau sebaliknya.

“Setakat ini, namanya tidak ada dalam senarai calon PRU13.

“Tambahan pula kita belum bincang isu calon PRU13,” katanya.

Menurutnya, DAP Kedah akan menilai semula calon-calon yang layak bertanding pada PRU13, sebelum mengemukakan cadangan itu kepada DAP Pusat.

Pada PRU12, DAP bertanding di dua kerusi Dun, iaitu Kota Darul Aman dan Derga.

Bagi PRU13, DAP menuntut bertanding di dua kerusi parlimen dan enam kawasan Dun.

Ia membabitkan parlimen Bagan Serai dan Alor Setar.

Manakala Dun pula bagi Kota Darul Aman, Bakar Bata, Derga, Bakar Arang, Gurun dan Lunas.

Daripada enam kawasan Dun, lima kerusi berlaku pertindihan antara DAP dan PKR.

Tiada ulasan: