Oleh: bumiperak
"Aspan Alias - KL-Today.com
Saya sudah kurang keyakinan yang Umno akan kembali seperti sediakala. Di dalam isu Bersih dan rally nya, saya bertambah kurang yakin yang Umno mampu untuk menahan kemaraan bangkangan dari rakyat ramai.
Umno hanya mampu untuk berkumpul sesama penyokongnya dan berucap berapi-api dikalangan mereka sendiri. Retorik dan ucapan berapi-api oleh Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid dan lebih-lebih lagi dari Hishammuddin hanya memberikan keyakinan kepada penyokong-penyokong yang sedia ada sahaja.
Orang ramai menerima teguran dan ucapan pemimpin kita ibarat angin lalu sahaja….masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dalam isu Bersih yang dipersoalkan secara keterlaluan oleh pihak yang berkuasa bukan sahaja tidak dapat menambah keyakinan rakyat tetapi yang jelas pihak yng duduk di atas pagar lebih mirip dan cenderung untuk memberikan sokongan kepada Bersih.
Menyokong perjuangan Bersih bukan salah dari segi undang-undang dan moral serta politiknya. Bersih adalah badan NGO yang memperjuangkan pengendalian pilihanraya dengan bersih dan adil dan Bersih tidak mewakili mana-mana parti politik. Bersih juga meminta Umno menyokong mereka untuk mempastikan pelaksanaan pilihanraya itu berjalan dengan baik dan Umno juga akan mendapat kebaikan jika pilihanraya berjalan secara adil.
Tetapi oleh kerana parti-parti pembangkang selama ini menjadi mangsa permainan kotor di dalam pilihanraya maka mereka tentulah secara natural menyokong tindakan Bersih atau mana-mana pertubuhan yang mahu berjuang untuk keadilan dan kesaksamaan di dalam mana-mana pilihanraya.
Untuk bersuara bukan hanya hak kita orang Umno, tetapi juga hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan serta agama. Media masa perdana yang hampir dengan rakyat bukan hanya untuk kita dari Umno untuk menggunakan salurannya tetapi juga untuk pemimpin-pemimpin dan ahli pembangkang yang bersama-sama membayar cukai kepada kerajaan.
Kenapa cukai mesti dibayar oleh semua termasuk parti-parti pembangkang tetapi kemudahan yang dihasilkan dari cukai rakyat ini tidak boleh digunakan oleh pihak lain dari parti yang memerintah? Inilah salah satu dari kemahuan dan perjuangan Bersih dan perjuangan Bersih ini bukannya perjuangan yang baru bagi negara-negara maju. Kenapa kita bercita-cita untuk menjadi negara maju tetapi kita tidak mahu menerima “attribute” negara maju?
Bagi saya Bersih sedang melakukan satu transformasi yang asas untuk sebuah negara yang mengaku sebagai negara yang demokratik. Kalau saya diturunkan sebagai calun BN (walaupun mustahil) saya mahukan rakyat menyokong saya secara “legitimate” dan memenanginya secara “legitimate” juga.
Saya tidak rela untuk memenangi pilihanraya secara kotor sebab naluri saya akan merasa sengsara kerana saya memenangi pilihanraya secara tidak sihat. Saya sendiri tahu yang kemenangan saya itu bukan oleh kerana sokongan natural pengundi tetapi oleh permainan politik yang tidak betul mengikut tata-cara demokrasi salah yang kita amalkan.
Inilah sebenarnya masalah yang kita hadapi sekarang ini. Ramai di antara pemimpin kita tahu yang mereka berada di tempat mereka secara “illegitimate”. Jika mereka sekarang merasakan yang mereka berada di atas itu secara “legitimate” tidak mungkin mereka merasakan ketakutan dan mempunyai jiwa yang fakir. Apa sahaja yang pihak lain lakukan kita akan menuduh mereka dipergunakan oleh pihak pembangkang.
Apabila kita dalam Umno mempunyai sikap dan perangai ini kesabaran rakyat tidak akan kekal. Sebagaimana yang saya katakan di dalam posting yang lepas perasaan manusia, lebih-lebih lagi manusia yang berfikir kita tidak boleh menambat perasaan mereka seperti kita menambat kerbau di sawah.
Sedangkan haiwan seperti kerbau pun ada kalanya mereka tidak mahu mengikut kehendak kita masakan manusia yang mempunyai akal fikiran boleh ditambat dan di tambangkan (diikat) dimana-mana yang kita suka?
Oleh itu di dalam isu Bersih dan rally nya sekarang ini jelas kita nampak yang rakyat sudah ramai yang mengalihkan sokongan kepada pihak lain secara senyap-senyap. Mereka mengambil sikap berdiam diri seperti yang kita kehendaki, tetapi mereka tetap mempunyai pendirian sendiri… iaitu memilih pihak yang mempunyai sifat “confident” dan mendekati rakyat sentiasa.
Mendekati rakyat bukannya dengan melakukan “walkabout” di mana-mana tetapi mereka mahukan dasar dan sikap adil itu yang mendekati mereka. Perjuangan Umno bukan untuk melakukan “walkabout” tetapi perjuangan di mana dasarnya yang sentiasa “walkabout” dengan mereka.
Malahan ada yang berkata menyertai “walkabout” pemimpin kita hanya membazir masa mereka dan hanya menghabiskan karipap (semasa refreshment) sahaja. Habis sahaja “walkabout” keadaan kembali seperti sediakala.
Dulu semasa Dr Mahathir pemimpin mendekati rakyat dengan Semarak nya. Sekarang dengan Juara Rakyatnya. Semuanya tidak membuahkan apa-apa. Rakyat tetap tidak berpuas hati kerana mereka mahukan keadilan dan perlaksanaan demokrasi yang baik.
Yang terbaru pula ialah “walkabout” pemimpin-pemimpin. Jika Semarak dan Juara Rakyat tidak membawa hasil apa-apa “walkabout” juga pastinya akan menghasilkan perkara yang sama. Yang rakyat dapat hanyalah bersalaman dengan pemimpin. Itu sahaja dan masih tiada apa-apa hasilnya.
Rakyat memerhati dengan dekat apa yang pemimpin lakukan. Dalam isu Bersih ini pemimpin-pemimpin kita hanya berjaya menyakinkan rakyat yang mereka dalam ketakutan. Dari psikologinya jika pemimpin menunjukan ketakutan rakyat akan hilang keyakinan.
Itu adalah “consequence” yang natural dan semula jadi. Perhimpunan Bersih pada 2007 dahulu telah terbukti membantu PR memenangi banyak kerusi dan menyebabkan BN tersungkur di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan.
Sekarang ini dengan kempen yang bertalu-talu membidas pembangkang melalui media perdana membuatkan orang ramai sudah mempunyai persepsi negatif terhadap media perdana sebagai alat propaganda pihak kita untuk mendapatkan sokongan ramai. Yang akan menerima nasib buruknya ialah pihak kita sendiri. Apa sahaja yang dikatakan oleh media perdana tidak akan membantu kita lagi kerana anggapan orang ramai ianya semata-mata tindakan politik.
Jika kita mengatakan tindakan Bersih sebagai “politically motivated” pihak lawan juga akan menuduh kita yang media perdana yang melakukan pukulan terbuka terhadap pihak lawan itu juga bermotifkan politik. Contohnya media perdana membawa isu seorang dua rakyat yang miskin di Kedah dan menuduh kerajaan PAS Kedah tidak melakukan sesuatu untuk meringankan kesusahan yang dihadap oleh simiskin itu.
Persoalan ramai sekarang adakah mereka ini miskin sejak PAS memerintah? Bukankah orang yang dikatakan miskin memang miskin sejak puluhan tahun dahulu dan semasa BN memerintah negeri itu. Kedah juga dikatakan miskin dibawah pemerintahan PAS tetapi negeri itu memang pun sebuah negeri yang miskin sejak BN memerintah berdekad-dekad yang lalu.
Pendeknya kitalah yang paling lazim berbuat sesuatu dengan bermotifkan politik. Apabila pihak lain hendak melakukan sesuatu yang disambut ramai pemimpin kita pula yang bertalu-talu menuduh perlakuan pihak lain itu yang bermotifkan politik. Oleh kerana motif itu menjadi lazim kepada kita, maka apa jua yang dilakukan oleh pihak lain itu sama seperti motif yang kita lakukan.
Kita tidak boleh menuduh pihak lain mencuri semata-mata pihak kita selalu mencuri. Kita juga tidak boleh menuduh orang lain berbohong semata-mata kita selalu berbohong. Kita tidak wajar menganggap orang lain rasuah semata-mata rasuah itu sudah menjadi budaya kepada cara hidup kita.
Saya dikritik dengan hebat oleh setengah pihak sambil menuduh yang saya menggalakan orang ramai menyertai Bersih. Apa yang saya lakukan tidak lebih dari tujuan mengelakan rakyat dari memusuhi pihak kita terutamanya di luar-luar bandar di mana kita masih berkubu. Pihak kita telah memberikan “estimate” yang begitu rendah terhadap mereka yang menentang kita dari isu Bersih ini.
Kita (Kerajaan BN) hanya disokong oleh penyokong fanatik semata-mata tetapi pihak pembangkang telah berjaya menjinakan pemikiran mereka yang di atas pagar yang kebanyakannya adalah dari mereka yang masih muda dan akan mengundi buat kali pertama.
Pemimpin kita masih terlekat kepada keyakinan yang kita boleh melakukan apa-apa yang berbentuk membendung kegiatan fisikal mereka tetapi tidak berusaha sepenuhnya untuk membendung pemikiran mereka untuk memihak atau mengekalkan sokongan mereka terhadap kita.
Kita masih sombong dan masih cenderung untuk menggunakan otot kita yang tidak seberapa kuat lagi itu untuk memaksa rakyat berfikir secara kita. Bagi saya saya hanya melakukan apa yang baik untuk pihak kita. pandangan saya tidak semestinya betul tetapi yang penting bagi saya, ialah untuk membuktikan kepada yang mengkritik saya dengan kuat itu supaya bersedia untuk melihat apa yang saya telah ini… kita akan menghadapi jalan sukar di hadapan.
Kalau dahulu kita boleh mengawal rakyat seperti mengawal lembu sekandang, zaman itu sudah berlalu. Yang penting kita wajar memulakan usaha untuk mengawal pandangan dan pemikiran rakyat dengan memperkayakan jiwa pemimpin dan mengelak dari memaparkan jiwa yang terlalu fakir untuk mentadbir rakyat yang kian berkembang pemikiran mereka.
Pergerakan mereka mungkin boleh dilokap, tetapi apa yang ada di dalam naluri mereka tidak mungkin mampu di lokap oleh Hishammuddin atau sesiapa."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan