Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Shuhaimi Shafiei berkata melihat pada perkembangan sejak beberapa hari lalu termasuk tindakan polis menahan aktivis Bersih 2.0 dan menyoal siasat pemimpin-pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat.
“Kita jangka mereka akan menggunakan apa juga cara termasuk mengenakan darurat,” kata beliau pada sidang medis di sini hari ini.
Ketua Penerangan PKR Selangor itu berkata pihaknya yakin semua perkembangan semasa sedang menjurus ke arah Putrajaya akan mengambil tindakan terdesak ini.
“Kita sedang menjurus ke arah itu... ini tindakan mereka di Putrajaya, yang takut akan kehilangan kuasa.
“Namun begitu, tindakan ini tidak akan menyekat kemaraan rakyat yang sudah pun tahu mengenai hak mereka,” kata beliau sambil menambah tindakan pihak berkuasa ini juga tidak boleh menghalang “api kemarahan” rakyat.
Sejak kelmarin polis menyoal siasat pemimpin-pemimpin politik dan Bersih 2.0 berhubung perhimpunan 9 Julai ini.
Polis juga menyoal siasat pemimpin Perkasa dan Pemuda Umno yang merancang untuk mengadakan perhimpunan balas membantah Bersih 2.0.
Selain itu polis sedang menyoal siasat 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, yang ditahan reman sejak Ahad lalu, di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Shuhaimi, setakat semalam antara 15 hingga 17 pemimpin PKR telah disoal siasat.
Shuhaimi juga berkata, kebebasan bersuara, melahirkan pendapat dan hak berhimpun di Malaysia saban hari semakin parah.
“Apa yang berlaku semenjak beberapa hari lepas memperlihatkan ketakutan ‘ngeri’ pemerintah di Putrajaya.
“PKR Selangor musykil, apakah taraf demokrasi di negara ini yang sudah pun jatuh satu anak tangga di bawah kedudukan Myanmar mahu dipecahrekodkan dalam Malaysian Book of Records, hingga ke taraf Mesir era Hosni Mubarak?” katanya.
Dengan merujuk kepada tangkapan ke atas mereka yang menyertai program jelajah dan membeli atau menjual kemeja-T Bersih 2.0, Shuhaimi berkata, “mengapakah pihak berkenaan rela diperlakukan bagaikan ‘gurka’ Nepal zaman penjajah kepada pihak yang berkepentingan sedangkan tugas utama pasukan keselamatan adalah menjaga rakyat.”
“Rakyat berhujah, tindak tanduk polis Malaysia kebelakangan ini tidak ubah seperti polis Israel yang menyekat kebangkitan rakyat Palestin satu ketika dahulu,” kata beliau dan menambah, “pastinya ia adalah mengikut selera pimpinan Umno BN.”
Katanya, rakyat kini tidak lagi dapat menerima ‘peraturan baru pengharaman’ pemakaian kemeja-T Bersih 2.0.
“Apakah ini satu jenaka yang cuba disogok oleh PDRM kepada rakyat?
“Ingin ditekankan bahawa pencabulan ini mesti ditentang dan dihentikan! Hanya negara kuku besi sahaja yang memaksakan ‘peraturan gila’ seperti ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan