Rabu, 29 Jun 2011

Bersih: Edar bendera Malaysia pun ditangkap?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mempersoal tindakan polis menangkap aktivis Bersih termasuk Adun di Sungai Siput, Perak pagi tadi.

Beliau mahu pihak polis menjelaskan apa kesalahan yang dilakukan mereka sehingga digari dan dibawa ke balai polis Sungai Siput.

"Saya mempersoalkan apakah alasan mereka ditangkap, adakah kerana pakai baju kuning atau baju merah atau sebab edar risalah parti atau bendera Malaysia?" soalnya ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Seramai 14 orang yang ditahan polis kira-kira 9.00 pagi di Pasar Sungai Siput termasuk Adun Teja, Chang Lih Kang, Adun Jalong, Leong Mei Meng dan Timbalan Setiausaha PKR Negeri Perak, Tan Kar Hing.

Polis membuat penangkapan mereka dengan memberi alasan mengedar bendera Malaysia dengan memakai baju Bersih.

Khalil Idham yang juga Adun Titi Serong menyifatkan penangkapan itu sebagai melanggar kebebasan rakyat untuk berhimpun.

"Saya menganggap penangkapan adalah secara tidak sah dan nmelanggar kebebasan rakyat untuk berhimpun dan bergerak secara sah sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Fasal 10(1)/b.

"Saya dan Adun-adun Pakatan yang lain datang untuk memberi sokongan moral kepada meraka, juga harap semua petugas Pakatan tidak lemah semangat untuk mengedarkan risalah di mana-mana saja," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju yang berkaitan dengan aktiviti haram.

Justeru, tangkapan ke atas mereka yang memakai baju Bersih 2.0 oleh polis adalah betul.

"Jika kemeja-T Bersih berhubungkait dengan aktiviti haram, maka memakainya adalah juga haram,” katanya kepada wartawan.

Tiada ulasan: