SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,374 kes berhubung salah laku pemberi pinjam wang atau ah long direkodkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak awal tahun 2005 sehingga Mei tahun ini.
Timbalan menterinya, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) berkata, sebanyak 739 kes didakwa, 25 orang telah dibicarakan manakala enam disabitkan kesalahan.
“Kesemua mereka ini telah diambil tindakan, kementerian dengan agensi-agensi terlibat akan bertindak apabila kita terima aduan dari peminjam dan orang ramai,” katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.
Abdul Manan ingin tahu mengenai pengawasan pihak berkuasa terhadap aktiviti salah laku pemberi pinjam wang atau ah long yang masih berleluasa.
Lajim berkata, hukuman denda telah dipertingkatkan dari minimum RM20,000 kepada RM250,000 dan maksimum RM100,000 kepada RM1,000,000 bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan.
“Kementerian juga melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan membatalkan talian telefon yang tertera pada iklan-iklan haram yang ditampal di tepi jalan dan harta awam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan