Nazri Abdullah |
KUALA LUMPUR: Tujuh pemuda PAS yang ditahan jam 11 tengahari semalam kerana memakai baju Bersih 2.0 di Taman Kosas, Ampang dibebaskan kira-kira jam 2 pagi tadi. Mereka, Fadzlulrahimi Maarof, Shahril Suhaimi, Engku Faizan Engku Husien, Adha Isa, Fathullah Azam, Rozaimi dan Shafiee Yunos dibebaskan dengan jaminan polis selepas 15 jam ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. Kesemua mereka semalam ditahan kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi. Terdahulu lebih 100 penyokong berkumpul di perkarangan pintu masuk IPD Ampang Jaya bagi mendesak kesemua yang ditahan dibebaskan. Mereka berhimpun sejak jam 11 malam tadi dan turut disertai Adun Lembah Jaya, Kasim Abdul Aziz dan Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin semalam mendakwa mereka memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini. Beliau juga mendakwa mereka mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit. Sambil menyelar penahanan itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan polis itu telah memberi imej buruk terhadap penguatkuasaan undang-undang negara kepada dunia luar. "Mereka hanya memakai baju dan menjual baju Bersih, apa salahnya? "Ini hanya akan memburukkan imej perlaksanaan demokrasi dan penguatkuasaan undang-undang negara kita," katanya. Dalam satu lagi tangkapan, seorang pemuda, Mohamad Amin ditahan malam tadi di balai polis Gombak kerana memakai lencana kuning bertulis Bersih 2.0. Beliau bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan direkodkan pihak polis. Sementara itu, di padang Gombak Ria pula, majlis penerangan dan pelancaran Bersih 2.0 terpaksa ditukar kepada ceramah Israk Mikraj ekoran dihalang lebih 50 anggota polis. Kereta penceramah, Riduan Mohamad Nor yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS turut digeledah. Pintu pagar masuk ke Pusat Khidmat Dun Gombak juga dikepong dan orang ramai dihalang masuk. Majlis ceramah itu bagaimanapun diteruskan selepas polis mengenakan syarat tidak menyentuh isu himpunan Bersih pada 9 Julai ini. |
Isnin, 27 Jun 2011
Pemuda PAS dibebas awal pagi tadi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan