Selasa, 28 Jun 2011

8 Nokhtah Bertindih

Suhaimi Taib


Ledakan di sini bukan gunung berapi serakah awam
tetapi air syahdu bersih tenang dan aman
dilimpahkan, disiramkan sepanjang perjalanan
sambil mengajak penyangak takhta
membuang keruh dan kotornya
dakwat pena pilihan raya
dari tangan hantu dan pecandu politik.

Termaktub lapan nokhtah bertindih.

Satu: Membersihkan senarai undi
Dua: Mereformasi undi pos
Tiga: menggunakan dakwat kekal
Empat: Akses media yang bebas dan adil
Lima: Tempuh kempen minima 21 hari
Enam: Memperkukuh institusi awam
Tujuh: menghentikan rasuah
Lapan: Menghentikan politik kotor.

Laluan tak perlu diterjah
dengan isytihar genderang perang
kami datang bukan untuk berperang.

Jalan raya tak perlu disimbah
dengan pancutan air beracun
kerana kami sudah memisikan
wadah dengan lapan nokhtah aman
sejauh hulu sungai rakyat
ke kota menara Petronas ini.

Bersih, bersih, pilihan raya bersih
Aman, aman, himpunan aman.

Ampun Tuanku,
kami pacar yang hina
memohon restu.

27 Jun 2011
Kuala Terengganu

Tiada ulasan: