Selasa, 28 Jun 2011

PKR kecam tangkap aktivis Bersih, provokasi Perkasa

Harakahdaily


PETALING JAYA: Penangkapan dan penyiasatan 30 aktivis Bersih di Pulau Pinang atas tuduhan luarbiasa ‘cuba menghidupkan komunisme’ dan cuba ‘melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong’ oleh pihak polis satu lagi tanda hitam demokrasi Malaysia.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menegaskan parti itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaru itu untuk menyekat perhimpunan aman Bersih.

Tambahnya, tuntutan agar proses pilihan raya berlangsung secara bersih dan adil adalah perjuangan yang patriotik bagi menjunjung jaminan Perlembagaan negara.

Pada masa sama, katanya pihak berkuasa nampaknya menutup sebelah mata terhadap provokasi perkauman oleh Perkasa membuktikan tindakan Perkasa adalah sebahagian daripada sandiwara politik Barisan Nasional.

“Penangkapan dan penyiasatan ini merupakan antara proses intimidasi untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang ingin turut serta dalam perhimpunan Bersih serta usaha mengalih perhatian daripada 8 tuntutan asas Bersih bagi membersihkan sistem politik negara,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, tegasnya, PKR menuntut agar intimidasi terhadap aktivis Bersih dihentikan segera dan hak rakyat untuk berhimpun secara aman pada 9 Julai ini akan dihormati.

Tiada ulasan: