Harakahdaily |
PETALING JAYA: Sungguh mengaibkan Umno BN yang telah mengurus negara hampir selama 54 tahun, masih menggunakan pendekatan ugutan dan menakut-nakutkan rakyat bagi menghalang perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, segala ancaman dan tekanan pemerintah BN terhadap aktivis perhimpunan itu adalah manifestasi dari ketakutan dan kecemasan melulu mereka kepada keberanian rakyat dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya negara ini. Lojiknya, kata beliau selepas sekian lama mentadbir negara dan sistem pilihan raya pula memang dijalankan secara telus dan adil, BN dan Umno seharusnya menerima pandangan dan suara rakyat ini secara jantan dan berjiwa besar. Katanya, kritikan rakyat terhadap kaedah pilihan raya diurus di negara ini terlalu banyak rasionalnya. Menurutnya, SPR sendiri berulang kali menyatakan bahawa sistem yang ada memang banyak kelemahannya. Malah, kata beliau mengakui tidak berupaya memperbaikinya berasaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Lebih jauh, tambahnya persepsi rakyat kini, SPR bukan sahaja banyak kelemahan, malah amat ketara menunjukkan sikap memihak dan gagal mengurus undi rakyat secara telus, adil dan meyakinkan. Justeru, pihaknya kesal terhadap tindakan menyekat dan menangkap para aktivis Perhimpunan Bersih yang sedang dilakukan sekarang. Beliau juga kecewa dengan kaedah pihak berkuasa dan instrumen pemerintah yang menggunakan pendekatan melabel kelompok rakyat yang menyokong perhimpunan secara aman. Lebih buruk, katanya ada pula media pendokong Umno yang menggunakan pendekatan ekstremis agama dan rasis dalam usaha mereka menyekat suara rakyat ini. “Dalam hal ini tindakan pemerintah menahan 30 aktivis PSM serta menuduh mereka cuba menghidupkan semula ideologi komunis adalah tindakan terburu-buru dan cemas yang melulu,” katanya. Tambahnya, PKR menyokong tuntutan Perhimpunan Bersih yang dirancang teliti supaya berlangsung secara aman pada 9 Julai ini. Beliau berkata, adalah menjadi hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan hasrat mereka sesuai dengan apa yang ada di dalam perlembagaan. Katanya, kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam yang telah menyeru pihak berkuasa membenarkan Perhimpunan Bersih ini seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan adalah amat dipersetujui dan disokong. “Lapan tuntutan Perhimpunan Bersih itu adalah suara hati nurani rakyat yang sudah sekian lama disuarakan melalui pelbagai saluran. “Sekiranya ia dilaksanakan sepenuhnya, sudah pasti negara dapat mewujudkan sistem pemilihan kepimpinan negara yang lebih utuh, dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa,” ujarnya. Ini, ujarnya akan mewujudkan budaya masyarakat madani (civilized society) ke arah negara yang lebih maju, adil dan makmur. “Anehnya, jika pilihanraya yang bersih akan menguntungkan kesemua pihak –pemerintah dan yang diperintah, mengapa pula Umno terlalu takut dengan pilihan raya yang bersih,” katanya. |
Rabu, 29 Jun 2011
54 tahun Umno BN perintah tapi takut Bersih
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan