Rabu, 29 Jun 2011

Pemberian wang ehsan hina Dewan Rakyat

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: 'Wang ehsan' yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu merupakan satu penghinaan kepada Dewan Rakyat, kata Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat).

Bercakap sewaktu membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Petroleum (Cukai Pendapatan) Pindaan 2011, di Dewan Rakyat malam tadi, Kamaruddin berkata ia kerana wang ehsan itu tidak pernah diluluskan di Dewan Rakyat.

"Kalau kita kaji Datuk Seri Yang Dipertua, dalam akta petroleum ini, ada istilah-istilahnya. Yang tidak ada istilah 'wang ehsan'.

"Apa-apa tindakan yang kerajaan buat, yang Petronas buat, yang tidak ada dalam peruntukan rang undang-undang termasuk (pemberian) wang ehsan, itu bercanggah dengan undang-undang yang kita luluskan.

"Tidak ada pun wang ehsan yang kita (ahli parlimen) luluskan kepada mana-mana negeri," katanya.

Sehubungan itu katanya, pemberian kerajaan melalui pemimpin Umno atas nama wang ehsan adalah satu penghinaan kepada Parlimen.

Pada November tahun lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hanya akan memberikan wang ehsan kepada Kelantan, hasil pengeluaran minyak di luar pesisir negeri itu dan bukannya bayaran royalti seperti yang dituntut kerajaan negeri itu.

Pemberian itu pula disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri itu, dan bukan melalui kerajaan negeri.

Wang Ehsan itu juga turut diberikan kepada Terengganu bagi menggantikan bayaran Royalti minyak sebelum ini.

Pindaan RUU selamatkan kroni

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) mendakwa pindaan RUU Petroleum (Cukai Pendapatan) itu hanya untuk "menyelamatkan" beberapa individu dalam syarikat yang berkepentingan bagi Umno BN.

Katanya ia termasuk anak bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Mokhzani Mahatir yang juga Pengerusi Eksekutif Kencana Energy Sdn. Bhd.

Selain Mokhzani dakwanya, seorang lagi adalah Pegawai Eksekutif Sapura Energy Ventures Sdn. Bhd, Datuk Shahril Tan Sri Shamsudin.

"Kenapa nak pertahankan kroni-kroni ini. Ya dia Melayu, tapi tidak ada kah Melayu lain.

"Kalau insentif ini digubal untuk memberi manfaat kepada KWSP ke saya sokong, tapi kalau ini tujuan untuk selamatkan Mokhzani Mahathir, saya akan lawan habis-habisan," katanya.

Beliau merujuk Pindaan RUU itu yang akan membolehkan syarikat kontraktor yang dianugerahkan kontrak oleh Petronas mendapat "layanan khas" iaitu pengurangan cukai dari 38% kepada 25%.

Petronas sebelum ini mengumumkan telah menganugerahkan kontrak khidmat risiko (RSC) kepada tiga syarikat iaitu Petrofac Energy Developments Sdn. Bhd. (Petrofac), Kencana Energy Sdn. Bhd. (Kencana) dan Sapura Energy Ventures Sdn. Bhd. (Sapura).

Ia bertujuan bagi aktiviti pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas di Medan Berantai yang terletak 150 kilometer di luar pantai Terengganu.

Azmin turut mempersoal kenapa Petronas tidak menjalankan sendiri projek itu sedangkan mereka mempunyai kepakaran.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata penganugerahan kepada tiga syarikat itu berdasarkan kemampuan teknikal dan kewangan mereka.

Ianya juga kerana projek tersebut kecil iaitu menpunyai 'marginal fields' kurang dari 30 juta Barrel.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Azmin meminta undian belah bahagi diadakan dan menyaksikan PR mendapat 29 undi dan BN 45.

Tiada ulasan: