KOTA BAHARU : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meluluskan penggunaan kenderaan elektrik di atas jalan raya selepas ia memenuhi syarat pendaftaran di bawah Seksyen 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan berkata, sehingga kini sebanyak 10 syarikat diberi kelulusan oleh kerajaan untuk membangunkan kenderaan sedemikian termasuk motosikal.
"Adalah dijangkakan, semua kenderaan elektrik akan dapat didaftarkan sebagai pengangkutan awam pada pertengahan tahun ini apabila ia didaftarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rabu lalu, motosikal elektrik pertama tempatan yang dikeluarkan oleh Eclimo Sdn Bhd dilancarkan dengan 40,000 unit pertama bakal menjengah pasaran domestik dan antarabangsa bulan April ini.
Motosikal jenis skuter itu yang berjenama Eclimo digerakkan oleh kuasa bateri ion litium.
Menurut Solah, Akta Pengangkutan Jalan memberi kelonggaran kepada kenderaan elektrik dikecualikan daripada menggunakan nombor casis kecuali nombor enjin, sebagai kenderaan bermotor yang lain.
"Dakwaan sebelum ini bahawa kenderaan elektrik tidak dapat beroperasi di atas jalan sebagaimana kenderaan berjentera yang lain yang menggunakan bahan bakar petrol dan gas, adalah tidak benar," katanya.
"Cuma ia terikat kepada syarat-syarat yang ditetapkan Jawatankuasa Standard Pawaian yang dianggotai oleh MIROS, JPJ dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebelum dapat digunakan sepenuhnya," katanya lagi.
Tambah Solah, berhubung mengenai basikal elektrik, beliau berkata keputusan sama ada penggunaannya boleh didaftarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan beroperasi di atas jalan raya adalah bergantung kepada keputusan dalam mesyuarat mengenainya di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan