Selasa, 29 Mac 2011

Mampukah Taib Mahmud terus bertahan?

Salhan K Ahmad

Pilihan raya negeri Sarawak bakal berlangsung pada 16 April dan perhatian utama kini tertumpu kepada ketua menterinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib membayangkan bahawa beliau akan bersara selepas pilihan raya tersebut diadakan namun beliau masih belum menyatakan tempoh masa yang tepat untuk berbuat demikian.

Malah, beliau juga tidak menamakan siapakah pemimpin yang akan menggantikan beliau untuk mengetuai pentadbiran negeri itu walau telah berkali-kali menyatakan bahawa beliau akan berundur.

Abdul Taib sebelum ini sekadar berkata, beliau mahu membentuk satu pasukan untuk mentadbir Sarawak daripada kader pemimpin didikannya terlebih dahulu sebelum berundur.

Di satu segi, Abdul Taib dapat mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemimpin yang sudah berada di hujung karier politiknya apabila bertindak demikian.

Langkah itu juga mungkin akan membolehkan Abdul Taib mengelak daripada terus menerima asakan supaya berundur, sama ada dari Pakatan Rakyat mahupun daripada BN sendiri.

Namun tindakan Taib itu dikhuatiri akan memberi kesan ke atas kepercayaan pengundi untuk memilih BN semula dalam pilihan raya kali ini.

Tangkis dakwaan

Teka-teki pada masa ini adalah sama ada Abdul Taib akan kekal sebagai ketua menteri negeri itu selepas 30 tahun berkuasa.

Lebih-lebih lagi, Abdul Taib perlu berdepan dengan dakwaan demi dakwaan berhubung rasuah yang didakwa turut melibatkan anggota keluarganya.

Ini boleh dilihat melalui laporan di ruang Internet seperti laman web Sarawak Report yang giat memperincikan dakwaan berkenaan.

Abdul Taib telahpun memulakan usaha untuk menjelaskan dakwaan berkenaan melalui satu kempen bagi menangkis dakwaan yang dilemparkan ke atas dirinya dan empayar perniagaan keluarganya.

Dalam satu wawancara video yang dimuatkan di portal Youtube, Abdul Taib antara lainnya menjelaskan mengenai modal permulaan untuk perniagaan hartanah anak perempuannya, Jamilah.

Empayar perniagaan di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada itu didakwa bernilai jutaan ringgit.

Penjelasan itu disasarkan kepada pengundi daripada kumpulan muda yang berpendidikan dan mempunyai akses kepada media baru. Pemerhati politik melihat, kumpulan pengundi ini lebih berani untuk melawan status quo.

Bagaimanapun, majoriti pengundi Sarawak berada di kawasan pedalaman yang masih belum banyak diliputi dengan perkhidmatan Internet.

Isu rasuah dalam kempen

Pemimpin daripada kem Pakatan pasti akan menggunakan isu dakwaan rasuah seperti itu dalam kempennya, namun ada pemerhati yang beranggapan bahawa dakwaan berkenaan tidak akan memberi kesan yang banyak dalam pilihan raya kali ini.

Majoriti masyarakat Dayak di kawasan pedalaman ini dikatakan lebih banyak terpengaruh dengan isu yang lebih praktikal seperti sara hidup dan bukannya isu 'abstrak' seperti rasuah.

Malah, ada pula di kalangan masyarakat berkenaan yang beranggapan bahawa seseorang pemimpin sememangnya patut terdiri daripada golongan kaya agar dapat menyalurkan bantuan kepada mereka.

Pandangan itu sendiri dipupuk oleh Abdul Taib, seperti yang dinyatakannya semalam ketika merasmikan satu majlis pecah tanah untuk membina sebatang jalan di Kuching.

Dalam laporan laman The Borneo Post itu Abdul Taib menyeru masyarakat yang bakal menerima manfaat daripada pembinaan jalan sepanjang 13.5 kilometer itu supaya tidak mengundi pembangkang.

Abdul Taib antara lainnya dilaporkan berkata, pengundi berkenaan akan menikmati kemajuan sekiranya mengundi BN.

Maka tidak hairanlah jika kalangan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak itu berpandangan bahawa mereka perlu bersikap patuh kepada kerajaan.

Tiada ulasan: