Khamis, 31 Mac 2011

Zunar: Kemunculan 'kartunis pelacur' jatuhkan martabat seni budaya

MERDEKA REVIEW

Saya kesal kerana sejak akhir-akhir ini semakin ramai muncul kartunis-kartunis yang sanggup melukis kartun yang membawa unsur fitnah. Kartun-kartun seperti ini banyak muncul menjelang pilihan raya kecil.

Terbaru, ahli parlimen Pembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar kanan) membuat laporan polis mengenai pengedaran kartun lucah yang disebar di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Kartunis-kartunis yang menghasilkan kartun ini tidak mempunyai tanggungjawab moral kerana tidak berani untuk meletakkan nama sendiri atau nama pena di dalam lukisan mereka. Saya mendapat maklumat mereka dibayar sejumlah wang yang banyak untuk menghasilkan lukisan mengikut arahan pihak yang membayar.

Mereka melukis apa saja yang disuruh termasuk kandungan yang mempunyai fitnah dan pembohongan. Bagi saya, kartunis-kartunis seperti ini tidak ada bezanya dengan pelacur. Saya ingin mengingatkan para kartunis bahawa selagi karya-karya mereka disebar dan dibaca, selagi itu mereka tidak terlepas dari tanggungjawab.

Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi kartunis untuk menyokong agenda mana-mana parti politik dalam kartun mereka, asalkan mereka bertanggungjawab terhadap kandungannya. Sesuatu karya yang bertanggungjawab mesti mempunyai tanda tangan pelukis. Nama pena sekiranya hendak digunakan mestilah mempunyai hubung-kait dengan kartunis dan bukan bertujuan mengelirukan identiti pelukis.

Kartunis mesti memahami sesuatu isu dari berbagai perspekstif sebelum mengambil pendirian mereka sendiri dan bukannya mengikut arahan orang lain. Kemunculan kartunis-kartunis pelacur ini telah menjatuhkan martabat seni budaya dan merendahkan kemampuan berfikir orang Malaysia.

*Kenyataan media oleh Zunar (gambar kiri), kartunis politik di Malaysia.

Tiada ulasan: