Rabu, 30 Mac 2011

Ibrahim Ali nafi Perkasa alami krisis dalaman



KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan pertubuhan bukan kerajaan membela hak orang Melayu itu tidak berhadapan dengan “krisis dalaman” ekoran keputusan dua pemimpin kanan muda termasuk Arman Azha Abu Hanifah meletakkan jawatan.

Arman Azha melepaskan jawatannya berkuat kuasa semalam manakala Ketua Wiranita Raihan Sulaiman Palestine berbuat demikian bulan lalu tetapi keputusannya belum diterima Ibrahim.

Kedua-dua itu adalah jawatan lantikan.

Sebaliknya, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Arman Azha yang juga ahli Umno Petaling Jaya Utara, telah menyatakan hasrat mahu melepaskan jawatan itu kerana ingin memberi tumpuan dalam bidang politik secara lebih aktif.

“Dah lama dia (Arman Azha) minta berhenti. Dia nak aktif (dalam) Umno dan nak ceramah atas (tiket) Umno.

“Tapi jadi ketua wira Perkasa... dalam dilema jadi saya setuju (dengan) dia lepas itu, itu sahaja,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider.

Sumber memberitahu keputusan itu berkaitan dengan isu kepimpinan dan projek tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Raihan dan Arman Azha.

Kedua-duanya mengetengahkan kedudukan isu peribadi mereka yang menyumbang kepada keputusan melepaskan jawatan masing-masing.

Mengenai keputusan Raihan yang berhasrat mahu melepaskan jawatan itu, Ibrahim menegaskan beliau menolak pendiriannya.

Tegas wakil rakyat Bebas itu, Perkasa tetap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan tiada krisis dalaman yang berlaku dalam kepimpinannya selaku presiden.

“Tak ada (krisis dalaman), Raihan masih Ketua Wiranita dan Arman (Azha) sudah beritahu sebab-sebab (letak jawatan) kepada saya.

“Raihan pula tidak ada masa nak jelajah ke sana ke mari, dia minta nak jadi penyokong sahaja dan saya tolak peletakan (jawatan) itu... Perkasa adalah NGO dan semuanya sukarela,” katanya.

Arman Azha yang merupakan ahli seumur hidup akan kekal dalam Perkasa.

Menurut Arman Azha, tindakan beliau melepaskan jawatan itu tiada kaitan dengan desakan atau masalah dengan kepimpinan dalam Perkasa yang diterajui Ibrahim.

Mengulas lanjut tindakannya, Arman Azha berkata, keputusan itu diambil kerana berpandangan bahawa NGO tidak boleh mencapai matlamat tuntutan tanpa mempunyai kuasa politik.

Tiada ulasan: