Rabu, 30 Mac 2011

Polis jamin PRN Sarawak lancar

Semua persiapan membabitkan kekuatan anggota dan kemudahan logistik dibuat - Ismail Omar



KUCHING: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memaklumkan polis mempunyai strategi tertentu dalam mengawal keselamatan sepanjang proses pilihan raya negeri (PRN) berlangsung terutama di kawasan yang dikategori sebagai ‘zon panas’.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci strategi yang akan dilakukan oleh pasukan keselamatan berkenaan, tetapi memberi jaminan bahawa PRN kali ini akan berjalan dengan lancar dan baik.

Menurutnya, semua persiapan membabitkan kekuatan anggota dan kemudahan logistik dibuat dengan mengambil kira segenap aspek seperti keadaan geografi tempat pembuangan undi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sarawak.

“PDRM mempunyai strategi tertentu untuk memastikan proses sepanjang pilihan raya negeri di semua 71 kawasan Dun berjalan dengan baik.

“Polis akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima daripada anggota yang ditempatkan di semua Dun dan, bukan dilakukan secara terburu-buru,” katanya sambil menambah, keadaan di semua kawasan kini dilaporkan terkawal dan aman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai persiapan polis negeri ini dalam menghadapi PRN Sarawak oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohmad Salleh di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, menjangkakan kempen yang sengit dan kemungkinan tegang di sembilan kawasan Dun Sarawak sepanjang kempen PRN ke-10 yang akan bermula 6 April ini.

Sembilan kawasan yang dikategori zon panas tersebut ialah Dun N4 Pantai Damai, N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawah, N19 Kedup, N39 Repok, N46 Dudong, N48 Pelawan, N49 Nangka dan N51 Balingian.

Dalam pada itu, Ismail menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi negatif mengenai pilihan raya ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan suasana panik dan kebimbangan kepada orang ramai.

Ditanya mengenai permohonan permit kempen oleh parti-parti yang bertanding pada pilihan raya ini, Ismail menegaskan polis bersedia memberi kelulusan kepada semua parti asalkan ia mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Syarat-syarat yang ditetapkan bagi mendapat kelulusan permit mengadakan ceramah dan kempen perlu dipatuhi oleh semua parti yang bertanding bagi memastikan keselamatan umum terjamin,” tambahnya.

Tiada ulasan: