Rabu, 30 Mac 2011

PKR bantah 'Datuk T' dilindungi undang-undang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan supaya tidak memberikan perlindungan kepada trio ‘Datuk T’ yang menjadi dalang dalam tayangan video lucah palsu yang cuba mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof seperti dilapor KeadilanDaily berkata, perlindungan kepada individu berkenaan sebenarnya cuba menjadikan Anwar sebagai tertuduh sedangkan beliau sebenarnya adalah mangsa.

“Apabila perlindungan diberi kepada trio ‘Datuk T’, ia menjadikan Anwar sebagai suspek,” kata Yusmadi yang juga pengamal undang-undang.

Yusmadi turut merujuk jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kong pada 20 April tahun lalu yang menyatakan bahawa saksi yang sudah melakukan pendedahan kepada media, tidak layak mendapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi.

Justeru, katanya, berdasarkan prinsip yang sama, individu berkenaan, yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah, tidak layak mendapat perlindungan sebagai saksi.

Menurutnya lagi, kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz, bahawa individu berkenaan boleh dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat, mengelirukan dan bertentangan dengan undang-undang.

Malah, kata Yusmadi lagi, selain perlu didakwa di bawah Seksyen 292 kanun Keseksaan Jenayah kerana melakukan tayangan serta pengedaran video lucah, mereka juga perlu didakwa kerana melakukan ugutan jenayah (criminal intimidation).

Turut menyertai Yusmadi pada sidang media itu adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Merbok, Rashid Din; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.

Tiada ulasan: