Khamis, 31 Mac 2011

PR Pulau Pinang untuk Semua Guan Eng: Wifi juga untuk Semua

MERDEKA REVIEW

"Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang untuk semua, Wifi untuk semua" dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri wifi pertama di Malaysia yang berani dan inovatif dalam inisiatif memperluaskan kepintaran digital untuk seluruh rakyat Pulau Pinang. Sebagai negeri yang pertama di Malaysia menyediakan wifi percuma di tempat tumpuan umum, beberapa keperluan dan penjelasan diperlukan dalam usaha untuk melaksanakan konsep baru ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menekankan di sini bahawa kita bersedia untuk mempertimbangkan mana-mana syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia yang mempunyai lesen perkhidmatan ICT, sepertimana syarat yang telah ditawarkan kepada Redtone International Bhd. Dalam erti kata lain, syarikat-syarikat ini mesti bersedia untuk memasang dan menyenggarakan 1,500 kawasan hotspot wifi percuma untuk dibekalkan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang selama lima tahun dengan kos RM8.5 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

Sebagai bukit komitmen terhadap inisiatif wifi percuma, mana-mana syarikat itu hendaklah mengikut jejak langkah Redtone, iaitu dalam memasang dan menyenggarakan sebanyak 750 kawasan hotspot yang pertama atas kos pembiayaan sendiri. Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak akan mengeluarkan walau satu sen perbelanjaan untuk fasa pertama ini.

Sekiranya syarat diatas dipenuhi, barulah syarikat tersebut layak untuk ditawarkan fasa kedua iaitu pemasangan tambahan 750 lagi kawasan hotspot yang akan ditanggung sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab Barisan Nasional yang telah mengelirukan dasar yang diamalkan dengan menuduh kerajaan negeri PR Pulau Pinang mengenepikan dasar tender terbuka kerajaan negeri. Jelas, BN hipokrit dengan mengkritik Pakatan Rakyat tidak mengamalkan tender terbuka sedangkan BN sendiri gagal melaksanakannya.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa dasar tender terbuka merupakan keutamaan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Atas urustadbir CAT dan dasar tender terbuka yang senantiasa diamalkan ini, Pulau Pinang telah pun menjadi negeri pertama yang dipuji oleh Transparency International.

Urustadbir CAT sememangnya berdasarkan sistem tender terbuka tetapi mustahil Pakatan Rakyat untuk melaksanakan sistem tender terbuka sekiranya hanya satu syarikat tersenarai yang sudi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia akan ditawarkan dengan syarat yang sama sepertimana yang dikenakan kepada Redtone International Bhd untuk memasang dan menyenggarakan 1,500 hotspot wifi percuma untuk seluruh rakyat Pulau Pinang selama lima tahun dengan kos RM8.5 juta.

Inisiatif wifi percuma di Pulau Pinang ini melibatkan dua fasa. Fasa pertama melibatkan pemasangan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum oleh syarikat tersenarai dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa mengenakan satu sen pun kepada Kerajaan Negeri. Pelaburan syarikat tersebut akan ditebus balik melalui pulangan pengiklanan.

Pada fasa pertama, kerajaan negeri hanya membantu menyediakan kemudahan dalam proses pemasangan. Hanya satu syarikat (Redtone) yang menyatakan kesudian dalam menyediakan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat. Tiada syarikat lain yang berminat untuk tampil menyediakan perkhidmatan 750 wifi percuma dengan kos pembiayaan sendiri.

Oleh kerana tahap pertama adalah tawaran pemasangan secara percuma, Kerajaan Negeri tidak dapat memaksa Redtone untuk meliputi seluruh kawasan di Pulau Pinang. Inilah sebabnya beberapa kawasan terpaksa diketepikan termasuk kawasan Parlimen Bukit Gelugor, Pengerusi DAP Karpal Singh.

Untuk memastikan liputan wifi percuma merangkumi semua kawasan, Kerajaan Negeri harus membiayai fasa kedua, iaitu pemasangan dan penyenggaraan 750 hotspot wifi tambahan untuk ditempatkan di tempat tumpuan umum dengan bayaran RM8.5 juta untuk tempoh lima tahun. Fasa kedua ini bukan sahaja meningkatkan jumlah hotspot wifi percuma kepada 1,500 malah akan memastikan bahawa semua kawasan di Pulau Pinang mempunyai liputan wifi percuma ini. Fasa kedua ini jugalah yang menyebabkan BN terus mengkritik kerajaan negeri kononnya kerajaan negeri tidak mengamalkan dasar tender terbuka.

BN seperti hilang arah untuk terus mengkritik tanpa asas. Tanpa mengambil keseluruhan fasa 1 dan fasa 2, BN mengabaikan terus fasa 1 dan hanya mengambil kira fasa kedua. Ini salah. Untuk layak ke tahap 2, syarikat tersenarai harus memenuhi syarat menyediakan 750 hotspot wifi percuma di peringkat fasa pertama dengan kos ditanggung sepenuhnya tanpa bayaran walau satu sen pun oleh kerajaan negeri. Maka hanya itu dapat memenuhi syarat bagi membolehkan Kerajaan Negeri meluluskannya untuk ke fasa kedua.

Pada permulaan, ketika mencari syarikat-syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan ini, tidak ada syarikat yang berminat kecuali Redtone. Oleh itu, disebabkan hanya Redtone yang layak dan sudi memenuhi syarat yang dikenakan, mustahil kerajaan negeri melakukan tender terbuka dalam inisiatif ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang masih bersedia untuk mempertimbangkan syarikat-syarikat tersenarai yang lain, selagi mereka sudi memenuhi syarat menyediakan 750 hotspot wifi percuma dengan kos ditanggung sendiri. Syarat untuk fasa kedua adalah seperti berikut:

Nota Penting Perjanjian Kerjasama untuk Perkembangan Intenet Mudah Alih antara PDC Telecommunication Serviced Sdn Bhd (PDCT) dan Redtone International Berhad (Redtone)

Pakatan Rakyat Pulau Pinang untuk semua, Wifi juga untuk Semua

Syarat Umum
- Perjanjian adalah untuk pemasangan 750 hotspot wifi percuma di tempat tumpuan umum dibiayai oleh kerajaan negeri melalui PDCT.
- Sebanyak 750 hotspot wifi telah dipasang oleh Redtone Internatiomal Bhd (Redtone) di tempat tumpuan umum. Dengan tambahan 750 hotspot wifi percuma yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, keseluruhannya 1500 hotspot wifi percuma akan dipasang di kawasan-kawasan tumpuan umum meliputi seluruh negeri Pulau Pinang.
- Redtone juga akan menyediakan 50 hotspot tambahan di atas 750 yang sudah tertera dalam kontrak fasa kedua, di mana PDCT tidak akan dikenakan bayaran lebih lanjut bagi sebarang pemasangan atau penyelenggaran.
- Pemasangan 750 hotspot yang dicadangkan dan tambahan 50 kawasan baru harus diselesaikan dalam masa 12 bulan dari tarikh perjanjian.
- Redtone perlu menyediakan 50 Mbps sebagai "backhaul" untuk perkhidmatan internet di 750 kawasan pertama dan 750 kawasan baru.

Syarat Bayaran
- Perjanjian ini mengambil tempoh lima tahun dengan jumlah RM8.490.000. Selepas lima tahun, baik PDCT mahupun Kerajaan Negeri mempunyai pilihan untuk meneruskan perkhidmatan ini untuk tahun-tahun berikutnya dengan bayaran RM900, 000/- per tahun.
- Penyenggaraan ke atas 750 kawasan hotspot yang siap dipasang oleh Redtone harus dilakukan secara percuma tanpa membabitkan kos kepada PDCT. Sekiranya Redtone gagal untuk menjaga kawasan liputan, Redtone telah dianggap melanggar perjanjian.
- Dalam hal pelanggaran perjanjian, PDCT mempunyai hak mutlak untuk menuntut pemilikan penuh ke atas 750 kawasan hotspot yang sedia ada, 750 kawasan hotspot baru dan 50 kawasan tambahan selain pampasan/ kerosakan dari Redtone.

Lokasi
- Semua 40 daerah di Pulau Pinang harus diliputi sekurang- kurangnya 10 wifi.

Pembahagian Pendapatan
- Pendapatan bersih yang diperolehi dari perkhidmatan pengiklanan harus dibahagikan antara PDCT dan Redtone.

Naik taraf Teknologi
-Setiap pengguna wifi percuma Pulau Pinang diberikan sambungan intenet 1 mbps dan apabila perlu, pengguna boleh meningkatkan sambungan sehingga 5 mbps, 10 mbps atau sehingga 54 mbps oleh Redtone International tanpa kos tambahan.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tiada ulasan: