Khamis, 31 Mac 2011

JPN Tiada Kuasa Tukar Status Jantina Pemegang MyKad

KUALA LUMPUR: Ketika ini tidak ada sebarang peruntukan dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan seseorang individu yang telah melakukan pembedahan menukar jantina dibenarkan menukar status jantina mereka di dalam MyKad.

Sebaliknya, kata Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim, pihaknya hanya menguruskan proses pertukaran nama sahaja, tertakluk kepada sebab dan syarat-syarattertentu.

Oleh yang demikian, katanya, isu berhubung soal tersebut tidak berbangkit kerana ia tidak tertakluk di dalam peraturan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 semalam.

Mengulas isu keengganan sebilangan agensi kerajaan menerima MyKid dalam urusan rasmi pula, Datuk Alwi memberitahu, JPN telah memaklumkan kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Pelajaran, Jabatan Imigresen dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menerima MyKid sebagai dokumen rasmi.

"Ini kerana segala maklumat asas yang dikehendaki ada di dalam kad berkenaan,'' ujar beliau.

Dalam pada itu, JPN juga katanya boleh mengurangkan bayaran denda sehingga 50% kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang kehilangan MyKad.

Bagaimanapun pengurangan bayaran denda itu bergantung kepada keadaan kes yang dilaporkan dan budi bicara pihak JPN.

"Sementara kita mahu membantu golongan OKU, kita juga mahu memastikan agar orang ramai tidak datang membuat tuntutan sembarangan. JPN perlu memastikan golongan yang datang membuat tuntutan itu tidak hilang MyKad mereka secara sewenang-wenangnya,'' kata Alwi.

Tiada ulasan: