Dr Azman Ibrahim |
Tiada siapa yang bernama manusia yang tidak inginkan kemajuan dan pembangunan. Ini adalah naluri dan keinginan fitrah semulajadi manusia yang sentiasa ingin maju ke hadapan. Walau siapa pun yang berada ditampuk pemerintahan dan kekuasaan, tidak dinafikan, pembangunan antara agenda tumpuan utama pemerintah, hatta kerajaan komunis yang tidak bertuhan sekalipun. Rakyat juga sedia memahami dengan penuh kewarasan, antara keperluan utama pembangunan adalah tanah yang mungkin tanahnya memang sedia milik kerajaan, atau mungkin milik rakyat yang menjadi tempat mencurahkan titik peluh mencari rezeki serta menumpang berteduh atau ianya mungkin milik kerajaan tetapi telah diduduki oleh rakyat sendiri berpuluh tahun lamanya. Alasan serta sebabnya mungkin pelbagai sehingga rakyat terpaksa menjadi penghuni tanah haram menjangkau hampir dua generasi lamanya di tanahair sendiri, di negeri dan negara yang dipimpin oleh bangsa sendiri. Seakan sinonim, setiap kali berlaku pengambilan tanah rakyat untuk untuk apa jua alasan termasuk alasan skeptikal bagi keperluan pembangunan selalunya ia diiringi dengan episod yang tidak mengembirakan terutamanya di pihak yang lemah, rakyat! Tambah menyedihkan lagi sekiranya tanah yang telah diduduki dan diusahakan rakyat selama berpuluh tahun lamanya itu belum berjaya mendapat surat hak milik yang sah atau dengan istilah lain rakyat menduduki dan mengusahakan tanah secara haram. Soal bayaran pampasan yang tidak munasabah malah kadang-kadang tanpa sebarang pampasan, masalah penempatan semula, kehilangan punca pencarian, ketidak mampuan untuk memiliki kediaman baru adalah antara isu yang sering berulang malah terus berulang. Setiu antara kawasan yang banyak menyimpan memori duka di sebalik kisah pengambilan (baca perampasan) tanah. Antara yang tragis, tragedi November 2007. Rakusnya kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh yang merampas tanah-tanah, dan merobohkan rumah-rumah rakyat di RTB Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Langkap dan Belimbing Api, Jabi. Kebun-kebun penduduk dimusnahkan, rumah-rumah yang dibina seadanya oleh rakyat bawahan dengan harapan di situlah mereka boleh membina kehidupan keluarga diruntuhkan dengan angkuhnya oleh kakitangan Pejabat Tanah Setiu arahan dari Kerajaan Umno dengan kawalan ketat pihak polis, tentu juga dengan arahan Umno. Alasannya remeh, rakyat menduduki tanah kerajaan secara haram. Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh juga bertekad meneruskan tindakan zalim, membatal serta merampas semula tanah-tanah rakyat di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang dianugerahkan kepada rakyat oleh kerajaan PAS di seluruh negeri dengan alasan kononnya Lesen Menduduki Sementara (LMS) itu telah tamat tempoh. Kira-kira 500 orang yang berada di Pengkalan Merbau, Sungai Tong, Setiu ketika tragedi 19 November 2007 tentunya tidak lupa ketika mereka turut mengalirkan air mata dan menangis menyaksikan bagaimana seorang anggota tentera, Khalid Shaari, pemilik rumah yang masih lengkap berpakaian uniform tentera sampai di tapak rumah dan kelihatan sebak dan menangis setelah merakamkan runtuhan rumahnya itu. Rumah Khalid dirobohkan oleh Pejabat Tanah Setiu atas alasan meneroka tanah secara haram padahal Khalid mendapat tanah itu dari kerajaan negeri sebelum ini, yang ditadbir oleh PAS ketika itu. Kerajaan Umno/BN Terengganu jangan buat-buat lupa bahawa mereka berhutang dengan rakyat atas kezaliman dan kerakusan mereka. Rakyat Terengganu tidak akan memaafkan kerajaan pimpinan Umno walaupun Menteri Besarnya telah berubah kerana MB Ahmad Said juga antara watak penting di sebalik runtuhnya Masjid Bujal, Kemaman. Antara yang terkini, Pembangunan projek i-SHARP (Taman Akuakultur Udang Bersepadu), Setiu telah mengakibatkan lebih 60 orang peserta RTB Kubang Labi, Banggol Permaisuri kehilangan tanah yang telah diimarahkan bertahun-tahun dan menjadi sumber pencarian rezeki keluarga termasuklah Lot tanah yang dimiliki oleh Pengerusi JKKK Kampung Banggol. Lot-lot tanah RTB ini yang berkeluasan 1 hektar bagi setiap lot adalah antara jasa tinggalan kerajaan PAS sebelum ini. Diagihkan kepada rakyat yang berkelayakan walaupun mereka ahli Umno. Dalam melaksanakan projek udang berkeluasan kira-kira 1,000 hektar (2,400 ekar) ini yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampong Banggol, Kerajaan Negeri Terengganu telah menganugerahkan tanah berkeluasan tersebut dengan taraf pajakan selama 30 tahun kepada pemaju, Blue Archipelago Berhad, termasuklah tanah RTB yang sedang diusahakan dengan aktiviti pertanian dan penternakan oleh penduduk. Asalnya kerajaan negeri seolah-olah memberi lesen untuk pemaju menjalankan kerja termasuklah memusnahkan kebun dan tanaman penduduk tanpa apa-apa bayaran! Alasannya, tanah itu adalah milik kerajaan dan rakyat adalah peneroka haram tanah kerajaan. Kemudian, atas ihsan pihak kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pembinaan, peserta RTB ditawarkan RM500 untuk setiap lot tanah. Sungguh satu penghinaan kepada rakyat yang tak berdaya. PAS Kawasan Setiu mengambil tindakan tegas menubuhkan Jawatankuasa Bertindak dinamakan i-BANTAH, berperanan sebagai orang tengah antara penduduk dengan pemaju, rapat umum bantahan telah dibuat, perundingan demi perundingan dilakukan dengan pemaju akhirnya mereka bersetuju untuk membayar pampasan dengan nilai yang dijanjikan setimpal dengan penat lelah, kehilangan mata pencarian dan hasil yang sedang disusahakan. Janji pemaju kepada saya selaku Pengerusi i-BANTAH, nilainya mencecah jutaan ringgit. Penduduk menunggu dengan penuh harapan. Akhirnya mereka dipanggil ke pertemuan dengan pihak Pentadbir Tanah Setiu di Suria Beach Resort, Merang kira-kira 3 bulan yang lalu. Agendanya, kononnya perbincangan berkenaan pampasan tanah yang akan diambil untuk projek udang. Tapi ternyata rakyat sekali lagi diperbodohkan. Tidak ada sebarang perbincangan berlaku sebenarnya. Pegawai dari Pejabat Tanah Setiu hanya bercakap seorang diri, syok sendiri tanpa memberi peluang penduduk bersuara. Berulang kali beliau menayangkan, buku hijau ‘Kanun Tanah Negara’ dengan menegaskan juga secara berulang kali beserta nada penghinaan bahawa penduduk adalah penceroboh tanah kerajaan yang sebenarnya tidak layak mendapat sebarang pampasan atau saguhati. Tapi atas ihsan dan belas kasihan, mereka akan dibayar RM5,000 seorang untuk tanah yang diusahakan dan RM3,000 seorang untuk tanah yang tak diusahakan. Sebahagian besarnya cuma mendapat RM3,000. Kata Pegawai Pejabat Tanah tersebut, inilah jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh pemaju. Mana mungkin ada orang yang waras boleh bersetuju dengan nilai pampasan ini setelah menerima penghinaan sebegitu termasuk juga Pengerusi JKKK Banggol yang turut hadir dalam majlis tersebut. Atas nama Pengerusi i-BANTAH, lantas saya menghubungi peguam pemaju entah untuk kali yang keberapa bertanyakan hal pertemuan ini. Tanpa beliau mengetahui, maklumat lengkap tentang pertemuan telah ada di tangan saya, beliau cuba berdalih dengan menyatakan pertemuan itu telah berlangsung dengan jayanya dan kata sepakat telah diambil. Saya nyatakan, “Maaf Tuan Loyar. Tuan tidak bercakap benar. Pertemuan itu sebenarnya berakhir tanpa nokhtah dan keputusan. Peserta RTB dihina dan dipaksa menerima saguhati yang kononya adalah atas dasar belas kasihan. Mana yang tuan janjikan kepada saya pampasannya bernilai jutaan ringgit? Kalau RM5,000 untuk 60 peserta baru RM300,00. Itu pun ramai yang terima Cuma RM3,000.” Sikap dolak dalihnya mula terdedah. Katanya, inilah jumlah nilai saguhati yang dinilai oleh Pejabat Tanah Setiu, sedangkan pegawai Pejabat Tanah Setiu menyatakan, inilah nilai yang setuju dibayar oleh pemaju. Siapa yang benar dalam hal ini atau kedua-duanya pembohong untuk melepaskan diri. Siapa yang menjadi mangsanya? Masih rakyat bawahan. Atas kebenaran siapakah, pemaju boleh melakukan semua ini? Jawabnya, atas lesen yang diberikan kerajaan Umno Terengganu. Terkini adalah tragedi di Kampung Kepala Gajah, Jabi. Penduduk yang menerokai tanah kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu di Kampung Kepala Gajah, Jabi, Setiu bakal kehilangan rumah, tanaman dan tanah tersebut. Tanah yang diusahakan dan didiami penduduk terbabit seluas 42 ekar itu kini dipercayai telah dikuasai oleh pihak swasta bagi tujuan pembangunan. Pihak kontraktor yang mendakwa tanah-tanah penduduk di Kepala Gajah ini telah dibelinya dari kerajaan negeri dengan harga RM40,000 seekar walaupun apabila diminta oleh penduduk, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti pembelian atau hak milik. Lebih tragis, tanaman dan rumah penduduk ingin dimusnahkan tanpa mereka menerima satu sen pun pampasan. Sungguh suatu kezaliman yang tiada taranya kalaulah benar persoalan tanah kerajaan yang telah diimarahkan oleh penduduk sejak dua generasi, sudahlah tiada tindakan diambil untuk pemberian hak milik yang sah, dijual pula kepada kontraktor yang berkepentingan. Tidak ada sebarang label projek didirikan walaupun jentolak mereka mula bekerja untuk ‘menyodok’ kebun getah penduduk. Dulu khabarnya ingin didirikan sebuah kem PLKN, tetapi maklumat dari sumber yang boleh dipercayai memaklumkan projek kem PLKN telah dibatalkan atas alasan ketidak sesuaian lokasi. Lantas projek apa yang ingin mereka dirikan masih menjadi tandatanya. Benarkah mereka telah membeli tanah tersebut dari kerajaan negeri kerana mereka kelihatannya kebal, atau ada tokoh politik berkepentingan di belakang mereka? Ingatan yang sama ingin saya berikan sebagaimana yang pernah saya ingatkan kepada pemaju i-SHARP. Kesabaran penduduk ada batasnya. Kalau kita ingin datang bekerja di tempat orang, jangan kita berlagak seperti koloni yang menindas penduduk setempat. Ketegangan jangan dicari. Mereka memang lemah. Tapi cukup menakutkan apabila orang yang lemah dan dizalimi mengadu kepada Allah. Doa mereka tiada hijab. Kita telah lama merdeka. Bumi bertuah anugerah Allah ini adalah adalah amanah untuk diuruskan dengan sempurna oleh mereka yang dipinjamkan kuasa sementara di dunia ini demi keharmonian hamba-hamba Allah yang menumpang tinggal. Sejarah tentunya tidak dapat dibohongi apabila sepanjang satu penggal pemerintahan, kerajaan PAS berjaya memproses 120,000 permohonan tanah dan meluluskan 65,000 lot Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk rakyat Terengganu. Kerajaan PAS juga telah juga meluluskan dan memberi hak milik ke atas tanah ‘haram’, yang diimarahkan rakyat sejak puluhan tahun. Rakyat diberi hak mendapat tanah tempat tinggal dan tanah pertanian milik sendiri. Dasar ini menyelamatkan rakyat daripada rasa bimbang dan dukacita, yang berterusan sejak empat puluh tahun pemerintahan BN. |
Rabu, 30 Mac 2011
Pembangunan: Wajarkah titik peluh rakyat dipersiakan?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan