Rabu, 30 Mac 2011

PKR : Benarkan Rakyat Sarawak Mengundi Dari Semenanjung

TVS NEWS


KUCHING : Parti Keadilan Rakyat memohon kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menyediakan kemudahan bagi membolehkan rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung mengundi walaupun tidak dapat pulang ke kampong untuk berbuat demikian.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sarawak, Baru Bian berkata, SPR boleh menyediakan kemudian itu “dengan mudah” namun sehingga ini badan itu belum memberikan sebarang respon.

“Kami sudah membuat permohonan kepada SPR untuk memberi ruang bagi rakyat Sarawak tempat untuk mengundi di satu tempat yang ditetapkan. Kita membuat permohonan kerana ada begitu ramai pengundi berdaftar dari Sarawak yang bekerja di Semenanjung,” kata beliau.

Hari penamaan calon untuk pilihanraya negeri ditetapkan pada 6 April manakala pembuangan undi akan berlansung pada 16 April.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Ahmad Nazib Johari berkata, golongan mahasiswa Sarawak yang menuntut di Semenanjung menunjukkan semangat tinggi untuk mengundi serta membantu jentera pilihan raya Pakatan Rakyat.

“Ramai pelajar di Semenanjung telah hubungi kita yang menjadi pengundi dan kebanyakan daripada mereka menyatakan akan balik mengundi. Ramai pro mahasiswa ramai nak bantu kita semasa tempoh kempen,” kata beliau.

Baru Bian berkata senarai muktamad semua calonnya yang bakal bertanding merebut 71 kerusi di pilihan raya negeri Sarawak pada hari Jumaat ini bersama-sama majlis pelancaran manifesto.

Bercakap pada sidang akhbar di Kuching tengahari tadi, Baru Bian berkata senarai muktamad calon-calon dari KEADILAN akan disahkan pada mesyuarat Biro Politik malam ini.

Beliau juga mengesahkan isu perbincangan pengagihan kerusi di antara KEADILAN, PAS dan DAP telah diselesaikan dengan baik dalam semangat setiakawan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan isu pengagihan kerusi bersama SNAP masih dalam peringkat akhir perbincangan yang diharap dapat diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

“Rundingan dengan SNAP belum muktamad lagi, kita masih terbuka. Kami telah membuat tawaran mengenai kerusi-kerusi tertentu dan berhadap satu keputusan dapat dicapai menjelang hujung minggu ini,’ kata Baru Bian.

Mengenai manifesto, Baru berkata terdapat beberapa isu penting akan dimuatkan di dalam dokumen berkenaan yang akan menjadi dasar pentadbiran Pakatan Rakyat sekiranya di beri amanah memerintah Sarawak oleh rakyat pada pilihan raya negeri 16 April depan.

“Manifesto kami akan memberi tumpuan kepada hak keagamaan yang menjadi isu sangat penting sekarang, juga pembasmian kemiskinan serta pembangunan ekonomi di kawasan luar Bandar,” kata beliau.

Tiada ulasan: