Selasa, 29 Mac 2011

Kes Shuhaimi disebut semula 25 April

SELANGOR KINI


SHAH ALAM-Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut di laman blognya pada 30 Dis tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Edmund Bon yang mewakili Shuhaimi, 42.

Bon memohon satu tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihaknya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya Jumaat ini untuk memohon satu deklarasi bahawa Akta Hasutan 1948 bercanggah dengan Artikel 5,8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bon bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan surat kepada mahkamah pada 25 Mac lepas memohon agar kes itu disebut pada sebelah petang berikutan Shuhaimi perlu menghadiri pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor.

“Kami telah memohon secara lisan kepada mahkamah di peringkat awal kes bahawa saya tidak dapat hadir pada prosiding pagi kerana perlu hadir pembukaan Sidang DUN. Kita hantar surat pada minggu lepas tetapi mungkin disebabkan hakim telah bertukar surat tidak sampai.

“Ini seakan-akan memberi imej jika saya tidak dapat hadir (sidang DUN) maka pihak tertentu akan cakap saya tidak hormati sultan,” katanya.

Sebelum itu, pertuduhan dibacakan semula kepada Shuhaimi memandangkan kes itu pada tarikh lepas telah disebut di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

Tiada ulasan: