Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com |
Bulan depan (April), Kalendar PAS akan dipenuhi dengan mesyuarat agung peringkat kawasan seluruh negara, selepas mesyuarat peringkat cawangan. Selepas itu akan sampai pada puncak pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan PAS yang dijangka diadakan di Taman Melewar awal bulan Jun depan. Dengan pemilihan pimpinan peringkat kawasan bulan depan, bermakna PAS kawasan akan memilih pimpinannya – mungkin ada kawasan yang memilih pimpinan baru, di samping itu mungkin ada yang mengekalkan pimpinan lama yang dikira masih relevan lagi. Perlu diingat bahawa pimpinan PAS semua peringkat yang akan dipilih ini akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, sebuah pilihan raya yang saya kira sangat kritikal dan mencemaskan semua pihak, sama ada di pihak Pakatan Rakyat manupun BN sendiri. Dari itu apa yang penting difikirkan di sini ialah pemilihan saf pimpinan peringkat kawasan dan Pusat, adalah pimpinan yang akan mengendali dan memimpin parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Tentunya peringkat cawangan sudah bersedia dengan para calon pimpinan untuk peringkat kawasan yang dikira mampu mendepani PRU Ke-13 akan datang. Dengan ahli PAS meningkat sejuta orang, tentu saja ramai para aktivis yang layak untuk memimpin baik pada peringkat kawasan mahupun pusat. Sudah demikian ramai kalangan ulama, professional, aktivis baru dan lama serta pendukung parti yang setia sejak zaman berzaman. Dalam suasana yang ada, tidak sukar lagi untuk memilih pimpinan terbaik, berilmu, releven, penuh idea, semangat dan segalanya di semua peringkat. Pada pendapat saya, yang jadi persoalan sekarang ialah memilih pemimpin paling terbaik di kalangan yang terbaik. Setelah PAS berumur lebih setengah abad, rasanya warga PAS sudah matang untuk memilih pemimpin paling terbaik dari yang terbaik. Oleh kerana tahun ini dikatakan tahun PRU Ke-13 tentu saja, seperti dikatakan tadi, selepas pemilihan dan muktamar ini, warga PAS akan segera menyambung tugas masing-masing untuk bersiap menghadapi PRU Ke-13 itu. Siri-siri kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil di sana sini perlu dijadikan iktibar dalam menyusun semula gerak kerja dan strategi PAS untuk menghadapi PRU Ke-13 nanti. Saya tidak melihat ada kekecewaan besar di kalangan warga PAS selepas mengalami kekalahan demi kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut. Ini menandakan bahawa pendukung PAS sangat berjiwa besar, malah terus meningkatkan usaha untuk mencapai kembali kemenangan. Antara usaha yang perlu dilakukan oleh pimpinan PAS yang baru dipilih ini ialah memperbanyakkan lagi cawangan parti. Dalam hal ini pimpinan peringkat negeri sewajarnya sentiasa ‘turun padang’ untuk memantau keadaan ini dan memberikan bantuan secukupnya kepada kawasan dalam usaha menubuhkan lebih banyak cawangan. Negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu boleh dijadikan contoh akan kesuburan cawangan PAS di negeri tersebut. Negeri-negeri yang banyak cawangan ini telah membuktikan kemampuan mereka menghadapi Barisan Nasional dalam pilihan raya. Sekali lagi ditegaskan, penubuhan cawangan baru adalah crucial kepada PAS jika calon PAS mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang. PAS adalah sebuah parti yang sangat berdisiplin, istiqamah kepada asas perjuangan, mampu membuat perubahan, terbuka dan ramah. Ini diakui sendiri bukan saja dari kalangan rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan Rakyat, bahkan oleh para penganalisis dalam dan luar negara, para intelektual di menara gading yang rasional dan terbuka dan di kalangan rakyat sendiri. Bagaimanapun pihak musuh politik PAS tidak mungkin akan memuji PAS, walau secemerlang manapun PAS. Namun warga PAS jangan tenggelam dengan pujian banyak pihak ini justru kita menyedari pelbagai kelemahan dalaman lagi yang perlu diperbaiki dan ruang memperbaikinya sentiasa wujud. Oleh itu mesyuarat agung peringkat kawasan ini bukan saja akan memilih pemimpin untuk sesi akan datang, tetapi juga lebih kepada muhasabah akan kelemahan dalalam yang masih boleh diperbaiki. Saya yakin, masih tetap ramai yang menawarkan diri untuk dipilih dan berkhidmat, ataupun masih ramai juga yang sangat tawaduk, merendah diri untuk tidak menonjolkan diri supaya dipilih, namun mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk parti. Inilah wajah PAS yang dinamik dan segar, sentiasa mengikut perubahan zaman dan keadaan. Sebab itu demikian ramai para calon yang terbaik, namun yang hendak dipilih ialah yang paling terbaik dari yang terbaik. Akhirnya, mereka yang dipilih dan tidak dipilih akan terus berada dalam bulatan perjuangan. Dalam keadaan demikian, tidak mungkin ada sebarang elemen – dari mana-mana pihak pun – yang mampu menggugat PAS, justru kerana akar tunjangnya begitu kukuh dan pucuknya menjulang tinggi. Selamat bermesyuarat agung kepada semua kawasan. |
Khamis, 31 Mac 2011
Menjelang pemilihan kawasan, muktamar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan