Khamis, 31 Mac 2011

Selangor mohon gantung sementara kes hadkan masa soal siasat SPRM

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor memfailkan permohonan untuk menggantung sementara prosiding melibatkan kes pekeliling yang menghalang kakitangan negeri itu ditemu duga oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di luar waktu pejabat sehingga siasatan Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) kematian Teoh Beng Hock selesai.

Permohonan ini difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dan disertakan dengan afidavit disokong Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar).

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Khalid berkata, dalam afidavitnya telah dinyatakan bahawa terma rujukan dan inkuiri yang dijalankan RCI mempunyai kaitan langsung sama ada SPRM telah bertindak dengan sah dalam menjalankan penyiasatan khususnya dalam soal siasat individu sewaktu menjalankan tugas-tugas statutorinya.

“Afidavit ini juga menyatakan bahawa berdasarkan laporan media massa, keterangan telah diberikan kepada RCI berkenaan kekurangan dan pelanggaran yang berlaku sewaktu SPRM menjalankan tugas-tugas penyiasatan khususnya ketika menyiasat mendiang Teoh.

“Saya percaya bahawa laporan RCI adalah sangat material dan relevan kepada isu-isu yang dipertikaikan dalam tindakan ini kerana mahkamah akan mempunyai fakta berkenaan dengan prosedur siasatan SPRM dan setakat ini, ia tidak mengikut lunas undang-undang,” kata Menteri Besar dalam kenyataan itu.

Dalam afidavit ini, menurut Khalid, ada dinyatakan bahawa maklumat ini perlu untuk memutuskan sama ada pengeluaran pekeliling oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, yang mengehadkan pemeriksaan pegawai pada waktu pejabat sahaja, adalah sah.

Peguam Negara memfailkan permohonan itu bagi memohon mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4. 2009 bertarikh 28 Julai adalah batal dan tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru dikuatkuasakan.

RCI yang diberikan tempoh tiga bulan untuk mengadakan siasatan mengenai kematian Teoh dan prosedur siasatan SPRM.

Pada Februari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Peguam Negara mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahawa kakitangan awam negeri hanya boleh disoal oleh SPRM di pejabat masing-masing.

Peguam Negara memfailkan permohonan bagi meminta mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4. 2009 bertarikh 28 Julai itu adalah batal kerana ia tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara berkata pekeliling itu adalah batal dan tidak sah kerana ia menghalang pegawai SPRM daripada menjalankan tugas mereka sepertimana ditetapkan oleh Parlimen dan undang-undang.

Pekeliling itu menyatakan ahli majlis eksekutif negeri Selangor dalam mesyuarat mereka pada 22 Julai, memutuskan semua kakitangan yang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak dibenarkan ditemu bual oleh pegawai SPRM di luar pejabat mereka, sebaliknya hanya boleh disoal dalam bangunan setiausaha kerajaan negeri.

Ia juga menyatakan semua perjumpaan dengan pegawai SPRM perlu diadakan antara pukul 8 pagi dan 6.30 petang.

Tiada ulasan: