Isnin, 28 Mac 2011

Yen Yen: Kami tak peduli Nazri, tak minta mohon maaf pun

THE MALAYSIAN INSIDER


GEORGE TOWN — Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mengulangi bahawa parti itu tidak meminta Datuk Seri Nazri Aziz meletak jawatan atau memohon maaf di atas kenyataan kontroversinya mengenai MCA, MIC dan Gerakan.

Ng (gambar)yang juga Menteri Pelancongan berkata setiap orang berhak menyuarakan padangan mereka dan pada masa yang sama harus mematuhi etika Barisan Nasional.

“Bagi MCA, orang yang pandangannya paling penting bagi kami ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kami tak ambil peduli kenyataan Nazri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana Yayasan Perubatan 1MCA, di sini malam tadi.

Beliau mengulas laporan Nanyang Siang Pau baru-baru ini yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membandingkan kedudukan MCA sekarang sebagai “isteri yang dizalimi tetapi enggan meminta cerai.”

Buat masa ini, Ng berkata parti itu memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam satu kenyataan semalam juga, Nazri berkata percakapannya semasa sesi temu ramah dengan akhbar tersebut baru-baru ini telah disalah tafsir oleh wartawan berkenaan sehingga menyinggung perasaan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya, soal meminta maaf tidak timbul kerana laporan yang disiarkan itu tidak betul.

“Saya anggapkan hubungan Umno dan MCA ibarat sebuah perkahwinan yang kukuh... kahwin lebih 50 tahun ada bergaduh, macam-macam aduan. Sebuah perkahwinan yang lama tetapi tidak bercerai.

“Saya tidak suruh keluar pun. Itu mesej saya, ini perkahwinan lama, bergaduh tetapi tidak bercerai,” katanya.

Tiada ulasan: