Rabu, 30 Mac 2011

Anwar : Rakyat Sarawak Mampu Bangkit Tamatkan Perintah Rasuah

TVS NEWS


SARAWAK : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia terhadap pemerintahanan zalim dan rakus harus menjadi perangsang kepada rakyat Sarawak untuk menolak Barisan Nasional yang memerah segala kekayaan negeri untuk pemimpin dan ahli keluarga mereka.

Dalam ceramahnya di Tupong, malam tadi, Anwar menegaskan rakyat di kedua-dua negara Arab tersebut berjaya menumbangkan rejim zalim setelah tertindas puluhan tahun dan Anwar yakin perkara yang sama juga mampu dilakukan oleh rakyat Sarawak dan Malaysia keseluruhannya melalui peti undi.

"Dulu kemungkinan untuk menukar pemerintahan di negara Arab agak mustahil, cukup susah. Tetapi rakyat sudah sedar begitu juga (Hosni) Mubarak (bekas Presiden Mesir). Tiga puluh tahun baru "tutup" dan ganti dengan kerajaan lain. Sarawak juga 30 tahun mesti tutupkan BN!" kata beliau.

Anwar menegaskan pemimpin BN di Sarawak dan pemimpin diktaktor di dunia Arab mempunyai banyak persamaan dan mereka yang bangkit menentang mereka akan ditekan.

"Pemimpin hidup dengan mewah dengan jet peribadi dan kekayaan banyak. Nama Islam tapi bukan Islam yang dimuliakan tetapi wang dan dana rasuah diutamakan. Siapa yang lawan dia akan dihina dan diaibkan. Saya masih bernasib baik tidak ditembak, tidak hilang. Macam Teoh Beng Hock, (kononnya) dia jatuh dengan sendirinya. Bukan orang tolak dia tapi dia jatuh dengan sendiri dari tingkat 14,' kata Anwar dengan sinis.

Anwar berkata Pakatan Rakyat memberikan harapan baru kepada rakyat Sarawak berasaskan rekod pemerintahannya di empat buah negeri di Semenanjung, termasuk dua negeri paling maju di Malaysia - Selangor dan Pulau Pinang.

"Mana dua negeri yang paling tinggi pelaburan asing di Malaysia? Pulau-pinang dan Selangor, kedua-duanya negeri Pakatan Rakyat. Sarawak jauh lebih kaya dari Selangor, dan Kedah atau Pulau Pinang. Kalau di Selangor, orang Melayu atau Cina , India atau Orang Asli mati, waris diberikan RM 2500. Apabila lahir RM 100 masuk akaun. Air adalah percuma. Kita jaga amanah ini. Kalau ada rasuah, kita minta dia letak jawatan," kata Anwar.

Anwar berkata beliau tidak gentar terhadap Umno atau Barisan Nasional walaupun terus diserang dengan pelbagai fitnah, sejak dipecat dari Umno dan dihumban ke penjara selama enam tahun atas tuduhan-tuduhan rekayasa.

Beliau meminta rakyat menilai kata-mata manis dan fitnah yang dilontarkan BN semata-mata untuk mengabui mata rakyat.

"Yang BN nak takut sangat dengan saya buat apa? 13 tahun nak jawab tak boleh, Saya tak takut. Pilihan Raya Sarawak tak lama lagi. BN kata Melayu habis, Melayu akan miskin jika ada perubahan. Adakah Melayu kaya sekarang?," kata Anwar.

Tiada ulasan: