Khamis, 31 Mac 2011

128 Hektar Tanah Untuk Rumah Ibadat Bukan Islam Di Selangor

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kerajaan negeri Selangor meluluskan 128 hektar tanah bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri itu sejak 2008 hingga sekarang.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kelulusan tersebut diberi menerusi 90 permohonan yang diterima kerajaan negeri.

Menurut Dr Xavier, daripada jumlah itu 114 hektar adalah untuk membina tokong, 7.6737 hektar untuk kuil, 4.7402 hektar untuk gereja dan 0.7495 hektar bagi gudwara," katanya.

Dr Xavier berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Dr Xavier berkata, kerajaan negeri juga belum bercadang untuk mewujudkan pelan induk bagi pembinaan rumah ibadat selain Islam di Selangor.

Bagaimanapun kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan menyelesaikan isu berkaitan perkara tersebut menerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam.

Mengulas lanjut berhubung isu kuil di Seksyen 23, Dr Xavier berkata pembinaan kuil ini akan bermula selepas persetujuan mengenai kos dicapai antara wakil rakyat kawasan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan jawatankuasa kuil.

Katanya lagi, mengikut persetujuan asal, PKNS bertanggungjawab menyediakan jalan masuk ke tapak pembinaan kuil itu.

Sebelum ini, pada September 2009, kerajaan Selangor memutuskan untuk mengalihkan kuil tersebut dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, namun dibantah penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Susulan itu kerajaan negeri memutuskan menempatkan kuil tersebut berhampiran kawasan perindustrian Seksyen 23.

Tiada ulasan: